Tuesday, 13 April 2010

Part 12 - SEBUAH DUGAAN

Suatu hari pintu pejabat saya di ketuk sopan. Selalu kalau rakan rakan Jerman boleh dikenal nada ketukan itu atau boleh didengar bunyi tapak kasut mereka melangkah - seperti langkah kuda Arab.
Saya membiarkan beberapa ketika dan ketukan berulang. Kali ini saya mengiyakan sambil memerhati ke daun pintu. Siapa gerangan empunya diri.
Sebaik daun pintu terkuak, tersembul sebuah wajah. Seorang perempuan Melayu sambil mengukir senyuman manis.
" Selamat sore pak! Boleh saya masuk? katanya dengan lembut.
" Oh, silakan..Kata saya. Rupanya seorang perempuan Indonesia.
Dia duduk dikerusi tamu di hadapan meja saya. Sopan santu oraqng Timur masih ada. Kalau orang Jerman, tak ada mereka hendak berlemah lembut, hatta perempuan sekalipun.
" Sudah lama saya mendengar tentang bapak disini, tetapi ngak ada kesempatan berkunjung " katanya memulakan perbualan.
" Oo begitu. Terima kasih datang mencari saya. Sudah lama saya tidak bercakap Melayu." kata saya.
Kami berkenalan dan berbual panjang. Namanya kalau tidak silap Kartini. Dia meninggalkan Indonesia ketika berumur 7 tahun dan berhijrah ke Belanda. Membesar dan belajar disana sehingga berkenalan dan berkahwin dengan seornng rakyat Jerman. Suaminya seorang profesor di Universiti Munich dan mereka ada dua orang anak. Seorng lelaki bekerja di Berlin dan seorang lagi perempuan menetap di Itali. Dia sendiri bekerja di unit komputer di institut itu. Dia tinggal di sebuah rumah mewah di Black Forest dan suaminya tinggal di Munich.
" Sudah kemana berjalan sejak berada di sini ? tanyaa beliau.
" Belum kemana-mana. Cadanga hendak merayau Eropah" balas saya.
" Kalau bapa setuju, bulan depan saya hendak ke Italy, melawat anak perempuan saya bersalin. Bapa boleh ikut saya. Kita berkereta kesana" pelawanya. Bagus juga. Tapi risau jugak hati saya.
" saya akan fikirkan. Kalau tiada kerja terdesak, mungkin bisa" balas saya.
Dia mengeluarkan kad nama dan menghulurkan kepada saya.
" Nanti kontek saya. Ataupun datang saja ke departmen komputer. Saya ada disana " katanya sambil berlalu pergi.
Saya berfikir panjang. Memang saya hendak pergi Italy tetapi tiada sapa sapa kawan saya di sana. Ini peluang terbaik. Tetapi masalahnya dia seorang perempuan. Ibu dan isteri orang pulak. Sistem sosial di Jerman tiada halangan. Tetapi sistem sosial Islam sangat melarang.
Memang betul. Hidup di Barat, dugaan berat dan hebat. Akhirnya saya menolak pelawaan perempuan itu hendak ke Itali walaupun memang saya ingin kesana.

Sunday, 17 January 2010

Part 11 - Kota Heidelberg

Pada suatu hujung minggu saya pergi ke bandar Heidelberg. Bandar ini terletak di lembah antara dua buah bukit. Mengalir ditengahnya sebatang sungai yang amat jernih airnya. Kelihatan anak-anak ikan berkejaran seperti kita melihat sungai-sungai pendalaman di negara kita. Bezanya, sungai ini merentas sebuah bandar kosmopolitan dan kawasan perumahan padat sebuah kota seperti KL tetapi kebersehan airnya amat menakjubkan.
Bandar Heidelberg sepeti Bandarya Melaka. Ia sebuah kota sejarah, peninggalan kesan pemerintahan sistem beraja Jerman yang telah berkubur. Kota lama ini terletak di atas bukit sebagaimana kedudukan kota-kota kerajaan lama. Heidelberg juga dikatakan bandar terindah di Jerman. Memang benar. Ketika mengunjungi nya, ia dalam permulaan musim luruh. Kehijauan daun bertukar merah. Sebahagian pokok pulak telah gondol. Kombinasi ini melahirkan suatu lanskap sungguh menarik.
Ketika merayau dalam bandar saya terjumpa sebuah kedai menjual pisau Rambo. Terdapat berbagai jenis pisau yang amat menarik. Memang saya sedang mencari jenis pisau ini yang amat berguna dalam aktiviti berkhemah dan mendaki gunung. Malangnya kedai tersebut tutup sekejap untuk makan tengahari. Saya hanya meleleh air liur mengintai dari cermin pameran. Lama juga saya menunggu, tetapi tuan punya kedai tidak muncul-muncul. Akhirnya saya mengalah. Mungkin saya boleh datang pada waktu lain. Saya pun berlalu.
Di tengah-tengah bandar Heidelberg terdapat sebuah universiti terkemuka iaitu Universiti Heidelberg. Universiti ni amat terkenal dengan kursus teknikal bidang percetakan. Barangkali seperti Oxford dalam bidang sains politik dan commerce atau MIT dalam bidang kejuruteraan. Sebab itu kita dapati mesin percetakan lama di negara kita dari buatan Jerman yang masyhur berjenama Heidelberg.
Sayangnya amat kurang pelajar kita menuntut disana. Rakyat kita lebih suka ke England dan Amerika berbanding Jerman. Teknologi dan kepakaran Jerman dalam bidang teknikal berkualiti amat tinggi. Mungkin kerana faktor bahasa. Orang Jerman mempunyai jatidiri sangat tinggi sehingga tiada toleransi dalam bahasa. Sesiapa hendak belajar disana, wajib faseh berbahasa Jerman. Peluang ini biasanya direbut oleh rakyat Algeria dan sebahagian kecil orang Indonesia.

Tuesday, 5 January 2010

part 10 - Made in Sri Lanka

Sepanjang tinggal dengan keluarga Maucher, pakaian saya di basuh oleh Pn. Miriam. Saya hanya perlu kumpulkan pakaian kotor dalam bakul tersedia sebelum pergi kerja. Bila balik pada waktu petang, saya dapati semua pakaian telah dicuci siap dengan sterika sekali.
Pada mula-mula dulu, Pn Miriam mencuci semua pakaian saya tanpa tinggal sehelai pun. Tetapi dia tinggalkan sehelai kemeja kapas warna putih saya tidak di sterika. Saya sangkakan ia terlupa atau tercicir. Saya bukanlah peduli sangat. Saya pakaikan juga kemeja kedut-kedut itu. Lagipun ada coat di luar. Kedut-kedut itu dapat disorok.
Pada kali kedua, Pn. Puan Miriam tinggalkan kemeja putih tersebut tidak berbasuh. Dia keluarkan dari bakul dan letak atas tilam. Pun saya tidak peduli. Saya masih fikirkan ia tercicir lagi. Saya basuh sendiri kemeja tersebut dan saya pakai seperti biasa.
Pada kali ketiga, saya dapati Pn. Miriam keluarkan juga kemeja tersebut dari bakul dan letak atas katil. Saya mula berfikir. Tidak mungkin tercicir lagi. Perkara sama berlaku berulangkali bermakna bukan kesilapan lagi. Ia disengajakan. Tetapi mengapa. Apa sebabnya kemeja sehelai itu enggan dibasuh oleh Pn. Miriam. Persoalan ini bermain difikiran saya.
Pada hari minggu berikutnya saya berkesempatan bertemu Maucher. Saya lantas bertanya.
" Maucher, sudah dua tiga kali isteri anda tertinggal membasuh sehelai kemeja saya"
Maucher tersenyum dan menjawab
" Oh, tidak Mr. Saman. Dia memang tidak membasuhnya kerana baju tersebut buatan Sri Lanka! '
" Ooo.. apa kaitan dengan baju buatan Sri Lanka dengan anda?
" Kami di Eropah memulaukan produk teksil dari India dan Sri Lanka kerana negara-negara tersebut menggunakan buruh kanak-kanak untuk menghasilkan produk tektil. Itu sebagai tanda kami mengambil bahagian dalam kempen penentangan ini.
Saya terkedu lagi. Penyatuan orang-orang Eropah sangat kuat dan intim. Bukan setakat kerjasama keselamatan yang di terjemahkan melalui NATO atau ekonomi dari segi nilai matawang Euro, bahkan sehingga hal paling remeh dan kecil seperti tidak membasuh sehelai baju kemeja tetamu mereka semata-mata kerana kemeja tersebut ada terulis disana " Made in Sri Lanka".

Wednesday, 30 December 2009

Part 9 - Amalan Bila Bersin

Tinggal dengan keluarga Jerman, Puan Miriam dan Encik Maucher, mereka melayan saya dengan baik.
Pada suatu hari minggu, mereka memanggil anak-anak mereka pulang kerumah semata-mata untuk meraikan saya. Kedua anak mereka sudah bekerja dan tinggal berasingan. Sebelum menyediakan makanan, dia bertanya pendapat saya. Dengan pantas saya berkata saya seorang vegetarian. Tidak makan daging kecuali ikan.
Tengahari minggu itu mereka pun menyediakan makanan vegetarian. Salad mentah. Sayuran dan ikan trout steam dan sos sayuran. Ada ais kerim dan buah-buahan. Meja besar mereka dipenuhi dengan makanan. Puan Miriam sendiri yang meyediakannya.
Apa yang membuat saya terharu ialah susun letak tempat duduk meja makan. Sepasang anak mereka duduk di sebelah kiri saya. Miriam dan Maucher sebelah kanan. Saya di tengah-tenagh bagaikan seorang pengerusi untuk memulakan mesyuarat. Setelah semua mengambil tempat, Maucher menyenduk makanan kepada saya terlebih dahulu sebelum anak-anak dan isterinya. Setelah semua selesai, dia meminta saya memulakan memakan terlebih dahulu, kemudian baru mereka mula menyentuh makanan masing-masing.
Sedang makan, tiba-tiba saya terasa hendak bersin. Nasib menyebelahi saya kerana gaya makan orang Jerman tersedia tuala kecil individu pelbagai tujuan. Saya sempat mencapai tuala dan bersin dengan menangkup tuala di hidung.
Adalah menjadi kebiasaan saya apabila bersin akan menyebut perkataan " Alhamdulillah" sesudah bersin. Dan Maucher pula menyebut sesuatu dalam bahasa Jerman menyambut ucapan saya itu.
Perkara ini bukan sekali dua. Bahkan saya perhatikan setiap kali mereka bersin, mereka akan mengucapkan sesuatu dan rakan-rakan terdekat akan menyahut ucapan tersebut.
" Maucher, buleh saya bertanya sesuatu ?"
" Sudah tentu. Silakan"
" Mengapa apabila saya bersin dan berkata sesuatu , kemudian kamu membalas dengan sesuatu ucapan pulak. Saya perhatikan dikalangan kamu selalu perkara ini terjadi "
" Oh, itu doa tanda syukur kerana apabila bersin, kita seolah membuang penyakit. Kemudian orang yang mendengar pulak mengaminkan doa tersebut"
" Sangat menarik. Dimana kamu belajar budaya ini?" tanya saya ingin tahu.
" Kami baca buku Ihya Ulumuddin karya AlGhazali. Pada kami dia adalah ahli falsafah terkemuka. Kitab Ihya diterjemah ke dalam bahasa Jerman" terang nya.
" Begitu sekali! "
" Ya. Banyak sekali pengajaran hidup boleh dipelajari dari ilmuan ini".
Saya tersandar di kerusi. Daging ikan Trout yang lemak manis itu terhenti dikunyah. Jawapan Maucher itu seolah satu tamparan di pipi saya menyebabkan daging ikan manis itu menjadi tawar heber.
Ihya Ulumuddin diterjemah ke bahasa mereka oleh orang Jerman dan mereka mengamalkan sebahagian amalan yang dianjurkan oleh Ulamak tassauf besar umat Islam iaitu Imam Al Ghazali. Saya sungguh tak sangka.
Tengahari itu ais krim yang dimakan terasa panas. Manis melecasnya langsung tidak berbekas. Saya merasa malu pada diri sendiri. Gaya meraikan tetamu makan dan amalan bersyukur apabila bersin yang sepatutnya menjadi amalan orang Islam telah digunapakai oleh orang bukan Islam......

Tuesday, 22 December 2009

Part 8

Orang Jerman jarang minum di kantin pada pukul 10.00 pagi. Selalunya mereka sediakan sendiri Cuppicino dalam bilik masing-masing. Ada juga berkumpul di satu sudut khas minum beramai sambil berborak merehatkan minda.
Pagi itu saya menyertai mereka. Tajuk perbualan sungguh panas. Menyentuh tentang perlawanan bolasepak Liga Jerman. Apatah lagi melihatkan dua pasukan feberet mereka yang akan bertarung di Karlruhe pada hujung minggu nanti. Pasukan tersebut ialah Bayern Munich menentangn Karlruhe FC. Saya dapat bayangkan suasana tersebut seperti pasukan Selangor bertandang ke Alor Setar menentang Kedah.
Untuk menceriakan suasana seperti perangai kebanyakan orang Melayu, saya tumpang semangkuk bercerita mengenai bola. Sebenarnya saya tidak minat bola. Saya tahu pasal bola pun hasil pengalaman semasa bekerja dengan majalah sukan tidak lama dulu. Modal itu saya gunakan untuk bercerita dengan mereka sehingga mereka mengaggap saya memang seorang peminat tegar bolasepak. Kerjaya dalam bidang sukan memaksa saya mengambil tahu pasal sukan.
Kemudian masa pun berlalu sepi sehingga tibanya hari terakhir berkerja pada hujung minggu.
Sewaktu hendak balik, tiba-tiba saja Peter memanggil saya.
" Ya Peter, ada apa ?"
" Ini tiket perlawanan bolasepak, saya belanja"
Saya mula gelabah. Tempat yang saya paling tidak suka pergi ialah stadium bolasepak. Tambahan pulak di tempat asing bersama orang asing yang besar-besar.
" Sebenarnya saya hendak pergi..."
" Mr. Saman, saya hendak belanja awak menonton perlawanan bolasepak. Tolong jawab ya atau tidak. Saya tidak mahu dengar alasan. Itu urusan awak, OK!"
Dalam terkedip-kedip mengumpul kekuatan sambil menaggung renungan mata Peter menanti jawapan, akhirnya saya bersuara.
" Tidak "
"OK ini Jerman, bukan Malaysia. kami disini memang begitu. Tidak suka dengar alasan dan mengaggap itu hak peribadi. Kalau tidak dapat, kami sedia maklum urusan peribadi tersebut dan tidak perlu mengetahuinya. Tiada terasa kecil hati"
Peter berlalu pergi selepas menepuk-nepuk bahu saya sambil mengucapkan Tchusss. Ucapan bye bagi orang Inggeris atau salam bagi orang Melayu.
Saya termangu-mangu dilaman pejabat. Kejutan budaya kedua ini menyebabkan saya tertinggal bas untuk balik ke kampung Eggenstein, Leoposhafen. Mujur ada pengangkut alternatif iaitu van Volkswagen yang buleh mengisi 12 penumpang.

Wednesday, 16 December 2009

Part 7

Mrs. Marek memanggil saya.
" Mr. Saman, minggu hadapan perasmian Frankfurt International Book Fair. Kamu patut hadir bersama petugas kami. Banyak perkara boleh kamu pelajari kelak.""
" Tiada masalah Puan, saya setuju dan amat gembira"
" OK. Kamu akan menyertai mereka dengan van jam lapan pagi dari sini. Harap kamu tepati waktu "
" Mesti puan" balas saya.
Seperti dijanji, tepat pada waktunya kami berimpun di depan pejabat seramai lebih kurang 8 orang. Sebahagaian peserta saya belum kenal. Salah seorang daripada mereka menghampiri saya.
" Kamu kah pelatih dari Malaysia"
" Ya, nama saya Ahmad Saman"
" Ooo, saya Schulteiss. Selamat datang ke FIZ dan selamat menghadiri pesta buku terbesar dunia di Frankfurt. Nanti sampai ikut saya.Saya akan dapatkan maklumat yang mungkin penting untuk kamu kelak"
" Terima Kasih"
Dalam perjalanan saya hanya duduk diam mendengar mereka berborak tetapi sebutir pun saya tidak faham. Bahasa Jerman mereka pekat sangat. Sesekali rasa macam pelat Kedah pun ada.
Schulteiss duduk di depan sebelah drebar dan tidak henti-henti bergurau dengan drebar. Nampak macam pendiam tetapi pelawak juga rupanya dia.
Sesampai di Frankfurt, Schullteiss membawa saya ke booth pameran kami dan kawasan sekitarnya. Dia mendapatkan beberapa maklumat dan memberikan kepada saya sebelum menghilangkan diri. Sementara, rakan-rakan menyiapkan kemasan booth, saya merayau -rayau melihat pameran lain sekitar itu.
Tidak lama selepas itu, ada pengumuman. Acara perasmian akan bermula sebentar lagi. Saya beredar ke ruang lapang tempat perasmian yang mula dipenuhi peserta dan pelawat.
Beberapa minit kemudian acara pun bermula.
Saya tidak beri perhatian sangat kepada pengucap-penguacap dan juga ucapan mereka kerana saya tidak faham langsung bahasa Jerman. Bagaimanapun tiba-tiba saja perhatian berubah dan tertumpu kepada seorang VIP yang dijemput berucap.
" Bukankah itu Schullteiss ? tanya saya kepada rakan sebelah saya apabila melihat seorang lelaki yang kemas bergaya.
" Ya, benar"
Dalam saya kebingungan, pengacara memperkenal kan Professor Schullteiis, Ketua Pengarah FIZ yang akan memberi ucapan dasar beliau.
Saya menghela nafas panjang. Sebentar tadi dalam van bersama kami belemoih saja. Bila pulak dia sempat bersolek dan menjadi VIP pulak tu.
Jauh didalam hati, saya berkata, patut la bangsa ini maju jauh kedepan. Jurang sosial atau darjat mereka sangat sempit. Bayangkan seorang Ketua Pengarah sanggup naik van bersama krew pameran untuk menghadiri satu acara antarabangsa dan menjadi VIP pulak tu.
Saya tersandar di bangku mendapat kejutan budaya ini.....

Tuesday, 1 December 2009

Part 6

Bekerja dengan orang Jerman memberi saya satu pengalaman baru. Mereka amalkan sistem waktu anjal dalam perkhidmatan. Setiap pekerja di beri satu kad elektronik yang akan mencatatkan waktu keluar masuk mereka semasa bekerja. Walaupun waktu pejabat di tetapkan dari pukul 8 hingga 5 petang, tapi mereka tidak terikat sepenuhnya dengan waktu tersebut. Mereka bebas keluar masuk pejabat tetapi setiap kali hendak keluar masuk mesti direkodkan menggunakan kad tersebut. Waktu kerja untuk sebulan akan dikira dari rekod yang tercatat melalui kad elektronik tersebut.
Selain itu mereka sangat menepati waktu terutama mesyuarat. Semua ahli mesti hadir tepat pada waktunya atau lebih awal. Menurut Peter, jika ada ahli yang lewat lima minit, mesyuarat hari itu akan di batalkan dan di tunda ke tarikh lain. Sebab itu saya dapati lima minit sebelum mesyuarat , semua ahli sudah siap sedia di tempat masing-masing.
Di pejabat, saya diberi sebuah bilik lengkap dengan sebuah PC dan email. Ia memudahkan saya menghubungi rakan-rakan di tanah air. Kuatnya semangat jatidiri Jerman, mereka menyediakan PC berbahasa Jerman kepada saya. Terpaksa lah saya mengadu dengan Mrs. Marek dan seorang programmer kemudian menyelesaikan masalah saya.
Di luar bilik, rakan-rakan fellow saya dari China, India dan Mesir berkongsi kemudahan di medan lapang. Saya tidak tahu kenapa mereka mengasingkan saya dari rakan-rakan fellow itu sedangkan semuanya pakar-pakar dan professor di China, India ataupun Mesir.
" Mengapa kamu dapat bilik asing, sedangkan kami kena berkongsi ramai-ramai disini ? tanya tanya Dr. Nair kepada saya.
" Sebab saya orang Malaysia kut" seloroh saya
" Sudah lah, apa lebih Malaysia? "
" Banyak kelebihannya ! balas saya.
Dr. Nair bengang dengan jawapan saya tetapi dia senyum saja. Dia berasal dari Mumbai dan menurut nya hidup berjiran dengan keluarga Muslim di disana. Sebab itu dia faham sedikit sebanyak tentang agama Islam.
Seperti Ass. Prof. Feng Peijuan dari China, Dr. Nair juga sangat berjimat cermat. Setiap hari mereka membawa bekal ke pejabat. Dua keping sandwich dengan sebiji epal. Mereka tidak keluar merayau tiap-tiap minggu. Mereka juga menyewa flat secara ramai dengan kos lebih murah dan berbasikal pergi kerja.
Ass. Prof. Feng fasih berbahsa Jerman dan boleh berbahasa Inggeris. Beliau tidak menghadapi maslah komunikasi ditempat kerja dan selalu menjadi tempat rujukan kami kalau terpaksa berkomunikasi dengan petugas Jerman yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Prof. Feng diteman seorang jurutera muda.
Dr. Samir dari dari Mesir agak bergaya. Mungkin perangai orang Arab. Pengiringnya dua orang pegawai wanita. Saya jarang berkomunikasi dengan mereka berbanding rakan dari China dan India. Kedua-dua rakan fellow dari China dan India ini akan datang berjumpa saya apabila mereka hendak ke pekan Karlruhe. Mereka akan minta beli tiket trem dengan saya kerana saya membelinya secara bulk dan menyimpan dengan banyak. Selalunya bila mereka mahu beli, saya bagi percuma. Harga RM1.60 dan boleh digunakan berkali-kali oleh sesiapa saja dalam tempoh 24 jam.
" Orang Malaysia memang kaya" kata Ass. Prof. Feng.
" Mana kamu tahu ?' Balas saya.
"Tengok la, kasut kamu, jaket kamu, cara berbelanja kamu. Bagi kami duit amat berharga. Bagi kamu macam takda nilai"
" He he he ... orang Malaysia bukan kaya tetapi boros" balas saya.
" Berapa gaji kamu Ass. Prof. Feng? sambung saya.
" RM500.00 sebulan"
RM 500.00. Saya macam tak percaya tetapi memang benar. Gaji seorang Ass. Prof. Rm 500.00. Kalau di Malaysia RM6,000.00 dan bila campur elaun itu dan ini boleh cecah RM10,000.00.
Memang patut lah orang Malaysia boros. Buminya mewah dan makmur. Sebab itu lah juga agak saya mendapat bilik sendiri berbanding mereka yang dilonggokkan secara beramai-ramai walaupun dari segi pangkat dan kepakaran mereka jauh lebih tinggi berbanding saya.
Untungnya jadi rakyat Malaysia.
Terserlah lah bahawa imej ekonomi mampu mengaburi taraf ilmiah dalam status sosial sesebuah masyarakat ,bangsa atau negara.