Sunday 4 October 2009

Part 5

Sudah seminggu saya di bumi asing. Stok beras, sardin, ikan bilis dan mee segera yang saya bawa sudah habis. Proses asilimisasi yang lembab sebabkan saya tiada pilihan untuk mengeyangkan perut melainkan terpaksa memakan buah-buahan. Tidak sukar untuk mendapatkan bekalan. Di pasar minggu hujung kampung terdapat pelbagai buah-buah yang sangat segar. Epal. Annggur. Pir. Semuanya terus dari ladang. Manis dan sangat murah. Anggur berharga RM3.00 sekilo. Epal 1.20. Demikian juga pir. Untuk lunch saya memakan 2 kg anggur dan sebiji epal. Bagaimanapun saya hanya mampu bertahan seminggu sahaja. Perut menjadi sangat lawas. Saya tidak berdaya lagi.

Hari Sabtu hujung minggu kemudiannya , saya ke bandar Karlruhe. Saya mesti cari sumber makanan asasi saya. Pagi pagi lagi saya sudah keluar berjalan kaki. Menyusur di pinggiran kampung Eggeinstein yang tenang itu. Cuaca pagi juga amat sejuk. Tiga lapis pakaian saya terasa macam tidak berselimut saja.

Tidak lama berjalan kaki saya sampai di stesen Trem. Ada seorang lelaki sedang menunggu disitu.

" Morgen" saya menegur.

" Morning" balasnya sambil tersenyum.

" Kamu boleh berbahasa Inggeris? tanya saya.

" Sikit-Sikit." jawabnya

Saya menghulur tangan. Kami bersalaman.

" Kamu dari Bangladesh?"

" Tidak. Saya dari Malaysia "

" Oh, ya . Saya pernah ke Malaysia. Saya pergi Melaka , Pulau pinang dan Langkawi."

" Bahasa Ingeris kamu begitu baik." puji saya.

" Saya belajar di Amerika. Saya tinggal di LA selama 8 tahun"

Sedang kami rancak berbual Trem pun tiba. Kami menaiki trem dan meneruskan perbualan.

"Sudah lama kamu disini ?"

" Baru seminggu. Saya ingin berjalan dibandar. Mencari kedai orang Asia kalau ada. Saya perlukan bekalan makanan. Makanan orang Jerman masih baru bagi saya"

Dia tersenyum.

" Saya akan tunjukkan kamu sebuah kedai orang Cina di tengah bandar nanti. Mungkin kamu boleh dapati keperluan kamu disana."

" O.. terima kasih." jerit saya.

Trem bergerak lancar. Penumpang naik dan turun seperti bas The Kubang Pasu Transport ltd. di Jitra. Di dalam trem saya menjadi tumpuan pandangan. Imej saya menimbulkan berbagai persoalan di benak fikiran mereka barangkali. Lagipun, orang asing amat kurang di wilayah ini kerana ia bukan wilayah metropolitan seperti Berlin dan Frankfurt.

" Sudah sampai. Mari kita turun"

" Ayuh "

Kami berjalan beriringan. Sambil itu dia mengingatkan saya supaya mengecam tanda-tanda jalan supaya saya dapat mencari jalan pulang. Selepas beberapa minit, kami sampai ke sebuah kedai yang letak agak tercorok di pinggir bandar Karlruhe itu.

Pemilik kedai itu seorang Cina. Mereka bercakap sesuatu dalam bahasa Jerman. Toke Cina itu memandang saya lalu tersenyum dan berkata sesuatu dalam bahasa Cina. Saya kata saya tidak boleh berbahasa Cina kerana saya orang Melayu . Dia pula tidak boleh berbahasa Inggeris. Kenalan baru saya orang Jerman itu menjadi penterjemah. Katanya saya boleh dapat apa apa jua keperluan orang Asia di kedai itu. Bahkan produk dari Malaysia pun ada. Selepas memastikan saya OK , dia pun meminta diri untuk selsesaikan urusannya.

Saya mula mencari barang keperluan. Alangkah terkejut dan gembiranya saya apabila mendapati segala produk Malaysia ada dikedai itu. Kicap Aminah Hassan. Mee Maggi. Sardin. Belacan. Ikan bilis. Beras. Semuanya lengkap. Entah dari mana pekedai Cina itu mendapat bekalan. Jauh di dalam hati, saya berkata mereka memang hebat berniaga.

Hari itu, saya borong sakan. Saya tidak jadi merayau di bandar kerana sibuk membeli bekalan. Selepas selesai saja saya terus balik ke Eggeinstein. Saya tidak sabar hendak masak nasi dan goreng ikan bilis. Orang Melayu, pakaian dan bahasa mereka boleh bertolak ansur tetapi kalau bab makanan minta maaf, mereka sanggup berjalan berbatu-batu seperti unta.