Friday 26 June 2009

Tok Jalai - the best of retro 1

Pokok ketapang itu telah mati. Kalau masih hidup , tentu ia menjadi sebatang balak. Tetapi hayat ketapang tidak seperti pokok jati. Bekasnya juga sukar dikesan. Namun saya masih dapat mengagak , kerana bangunan lama bilik guru dan setor sekolah masih tidak terusik kecuali kelihatan semakin klasik dengan pembinaan bangunan baru tiga tingkat. Diantara dua bagunan lama inilah pokok ketapang itu ditanam oleh tukang kebun , Pak Mae.
Pukul sepuluh pagi. Waktu rehat bagi kanak-kanak sekolah. Ketika rakan-rakan berlari ke kantin mengejar air serbat biji selasih dan bihun goreng , saya perlahan-lahan mengeluarkan bungkusan daun pisang yang emak bekalkan di dalam beg . Biasanya di perdu pokok ketapang itu lah saya melapik perut dengan ubi ketela rebus di cicah dengan kelapa parut bergaul sedikit gula. Adakalanya emak bekalkan pulut kukus dengan lauk ikan tamban kiat atau ikan sepat ronggeng goreng. Sambil mengunyah saya akan melempar pandangan jauh ketengah sawah yang menjadi lanskap sekolah terpencil itu.
“ Uuuuu… sedapnya bekai hang hari ni…”
NorHashim akan muncul mendadak dan bersila dihadapan saya. Tanpa perlu di semawa ia akan terus menjamah bekalan saya itu. Kami makan bersama dengan penuh selera . Biasanya dia akan menghabiskan semuanya. Sebagai anak tentera yang tinggal di dalam kem , makanan seumpama itu sukar dinikmatinya.
“ Untung hang Mat , di kampung hempa bebas. Makanan macam-macam ada. Tak gaduh beli. Segar dan sahih puncanya. “ kata NorHashim sambil merenung sawah yang luas terentang. Memang benar , di dalam sawah tersebut hidup berbagai spesis ikan seperti haruan , puyu , sepat , keli dan juga udang. Dipinggir sawah pula tumbuh subur pohon-pohon cenderai, samak, janggus , putat , keriang , keriang dot, setoi , remia dan muyu . Pucuk janggus, samak dan putat sangat sedap dibuat ulam atau kerabu dengan udang sawah. Manakala buah keriang dan muyu manis-manis kelat rasanya. Buah setoi dan remia pulak masam-masam manis dimakan dengan garam belacan kuah rojak kepala udang.
Kalau merayau di kawasan paya, banyak terdapat pokok paku, midin dan keladi air. Semua itu sangat enak jika dimasak asam pedas dengan ikan keli sawah atau ikan puyu.
“ Aku kurang dari segi tu Mat …..”
“ Tapi segi lain susah Cen. Hang tengok la . Mana ada letrik. Mana ada ayag paip. Jamban. Hempa dalam kem ada TV. Peti ais . Jalan tar. Tak belemoih macam kami.
Selalunya begitulah. Norhasyim rindukan kehidupan kampung dan saya sebaliknya. Norhasyim merasakan kem berpagar itu sebagai penjara. Dan saya merasakan selut lanyau dan tahi kerbau itu sebagai karung biawak. Sungguh tidak selesa.
Benarlah kata pujangga . Kenyataan tidak seindah impian.
“ Buleh tumpang semangkuk …” , Norlida anak gurubesar yang comel itu muncul mengusik.
“ Buleh. Mai la kalau tak malu ….” Balas Norhashim.
“ wee lah , kita pun tak kemaruk “
Pada hemat saya, Norlida seperti sukakan NorHashim. Memang Norhashim seorang yang kacak dan tampan. Kulitnya putih dan perawakannya menarik. Sentiasa kemas dan adalah ketua murid di sekolah itu. Peribadinya terpuji dan gemar bergaul dengan budak-budak kampung seperti saya.
“ Si Lida tu suka kat hang Cen”
“ Kalau lagu tu, boleh jadi menantu cikgu besag laa.. “
“ Baguih la . Dia segak apa. Aku setuju hang kawan baik dengan dia “..
Norhashim hanya tersengih. Adakalanya saya merasa cemburu juga. Aishah , kawan baik Norlida tu cantik juga. Tapi dia sangat jijik melihat saya. Alangkah seronoknya kalau diri diminati oleh seorang gadis seperti Norlida . Ah , anak comot dari kampung , apa lah
yang ada selain ubi rebus bungkus. Bau hamis selut bendang dan kencing kerbau. Hanyir ikan puyu dan hapak itik jawa.
Selepas tamat sekolah rendah , kami membawa haluan masing-masing. Norhashim mengikut bapanya berpindah ke Selangor dan Norlida menyambung persekolahan menengah rendahnya di Alor Setar manakala saya di Jitra. Oleh kerana sistem perhubungan ketika itu tidak canggih seperti sekarang , lama kelamaan kami pun terus terputus talian.
Saya cuba menjejaki Norhashim sehingga saat ini , tetapi kecewa. Yang pasti dia dan Norlida tidak kekal sebagai satu pasangan seperti yang saya harapkan. Saya pernah terserempak Norlida yang masih solo di satu majlis perkahwinan rakan saya di Muar.
Loceng berbunyi. Murid-murid berlarian keluar untuk rehat waktu pagi. Dari luar pagar saya perhatikan suasana itu. Seorang guru sedang mengilik fail dari satu bilik darjah dan menuju ke bilik guru. Sahih. Ahmad Jaafar , yang menjadi ketua kelas saya dahulu . Bagai belut pulang ke lubuk. Ibarat kisah seluang melaut. Seperti bangau di atas belakang kerbau yang meragut rumput di sawah . Kini ia menumpahkan baktinya di situ. Demi anak-anak kampung saya yang sedang berdepan dengan abad teknologi. Abad yang meniupkan angin perubahan menghembus debu-debu tanah merah , bebunga padi dan senduduk . Abad yang kian hari melayukan pohon-pohon cenderai. Pohon muyu dan keriang. Remia dan setoi.
Saya menyorot pergerakannya . Langkah yang tegas dan pantas sehingga ia tidak menyedari akan sebuah pikap asing dipinggir pagar di luar kawasan sekolah. Mahu saja saya menjerit tetapi rasanya tidak beradab pula. Sungguh , dia mewarisi watak dan gaya cikgu Arshad yang masyhur dengan skuter Lambrettanya dan cubitan jinjat . Di sebut cubitan jinjat kerana sesiapa yang mendapat cubitannya pasti akan terjinjat-jinjat menahan sakit.
Ketika matahari tegak dilangit, locing berbunyi lagi. Tidak lama kelihatan kanak-kanak beruniform berkepoi-kepoi keluar mendapatkan ibubapa yang sedang menanti dengan kereta dan motosikal untuk pulang kerumah.
Tidak lama kemudian, kawasan sekolah itu pun sunyi sepi. Norhashim , Norlida dan cikgu Arshad . Mereka terbang bersama angin monsun timur laut yang lansung tidak meninggalkan kesan melainkan aroma bunga padi bunting yang sungguh harum mewangi di pinggir sekolah Kem Tok Jalai itu.
2
Saya memandu dengan perlahan sekali. Membentuk satu konvoi kenderaan seperti gerabak komuter meniti landasan. Pekan utama ini sudah berubah wajah. Sudah semakin asing pula. Kedai-kedai catuk tempat menjual ais kacang tidak berbekas. Toko buku H. M Othman di kepala jembatan di pinggir saliran yang merentasi pekan pun sudah tiada. Akan tetapi kedai gambar Soo Photo masih utuh dan mungkin akan beragan di situ.
Tidak jauh adalah balai polis yang masih ujud tetapi dengan wajah baru. Stesen bas dihadapannya sudah tiada dan menjadi kawasan lapang yang usang. Mamak kacang rebus . Mamak condoi. Ais kepai. Semua sudah tiada . Namun , sebahagian deretan kedai-kedai lama masih kukuh walau nampak tidak bermaya.
Saya meneruskan pemanduan ke arah selatan menuju lokasi S.M.Jitra. Sekolah penuh nostalgia ini kelihatan sungguh menakjubkan. Bagai sebuah maktab. Hebat sekali. Bangunan dan kawasan sekolah ceria dan berseri. Dihadapannya telah dibina sebuah pusat membeli belah yang terkenal di pekan ini. Keceriaan bandar terpancar di kawasan baru ini yang dahulunya adalah kawsan sawah yang luas.
Di pinggir pagar sekolah masih ada stesen minyak Shell yang bagaikan rumput di tepi jalan. Di belakang Shell itu rumah Mohamad Rahim, satu-satunya pelari pecut kami yang boleh mencabar pelajar-pelajar Sarawak seperti Abu Saran atau Ambrose Baha Imam.
Membelok kekiri , di belakang bangunan sekolah arah ke timur adalah taman-taman perumahan yang subur bagai cendawan di musim hujan.
Dulu nya adalah kawasan kebun getah tua dan semak samun yang mewarnai perkampungan pondok Pak Leh. Biasanya itu laluan latihan sukan ‘ cross country ‘ yang juga turut di telan waktu. Sebagai pelajar lemah , saya jarang sekali dapat menghabis larian dalam masa yang di tentukan. Di kalangan rakan , saya adalah juara kelas corot. Mereka beramai-ramai akan ketawa apabila saya di denda merangkak kelililing padang bola Pavillion di belakang wat Siam.
Akhirnya saya mendapat akal . Selepas itu , setiap kali latihan di adakan , saya akan menyusup ke dalam semak dan melalui denai pintas dalam kebun getah tua itu untuk muncul bersama-sama kelompok pertama. Perubahan ini nyata memberi tamparan kepada mereka yang gemar mengejek saya. Guru sukan juga merasa pelik dan tidak puas hati dengan pencapaian saya yang mendadak itu.
Tanpa disedari , mereka mula mengintip. Tidak sukar untuk menemui jawapan. Suatu hari , ketika saya meloloskan diri dari persembunyian di denai pintas, guru sukan tersengih ditepi belukar seberang jalan bersama dua pembantunya. Saya tidak dapat berhelah lagi melainkan sesudah itu terpaksa merangkak keliling padang bola sebanyak tiga pusingan kerana melangsaikan denda. Kisah itu menjadi bualan hampir sebulan .
Saya berpatah balik mencari-cari kedai catuk di hadapan panggung wayang di tepi simpang jalan Sungai Korok. Saya mahu menyedut ais kepai mamak dan menghirup laksa kuah belut sambil menikmati lagu Mimpi Sedih dari suara Emelia Contesa atau pun suara Mohamad Rafi menyanyikan lagu Hindustan, misyer tom nahe……
Namun, semua itu telah meresapi dinding-dinding batubata kompleks kedai dua tingkat yang menempatkan bank-bank dan restoran ayam goreng Kentucky serta warung-warung tom yam.

3
Bandar Alor Setar tidak banyak berubah. Kecuali Menara Alor Setar , Hotel Seri Malaysia, kompleks beli belah City Point dan stesen bas , semuanya khazanah warisan kota itu diberi imej baru. Pekan Rabu juga diandam sesuai dengan kehendak waktu. Klasiknya meehun sup Empire masih ada walaupun panggung itu sudah menjadi shopping kompleks. Penghuni Utara mana yang tidak kenal Panggung Empire yang sangat hebat dengan filem-filem Hindi khususnya Bobby.
Jalan Langgar , Tongkang Pecah , Putra dan Sultan Badlishah sedikit sibuk. Yang nyata The Kubang Pasu Transport Ltd. tidak kelihatan merayapi jalan-jalan bandar ini. Bas warna kuning jalur merah itu adalah pengangkutan utama yang menghubungi Alor Setar dengan Jitra. Tidak mungkin ia berkubur begitu saja atau mungkin ia juga mempunyai nama baru untuk serasi masa.
Stesennya yang terletak di Jalan Telok Wan Jah juga sudah bertukar menjadi gerai-gerai. Saya seperti kehilangan sesuatu.
Semasa mentamui bandar ini saban hari , saya sudah matang remaja. Sudah akhir belasan. Sudah pandai bergaya dan mempunyai ramai kawan. Imej juga tidak lagi seperti pelajar kampung yang jauh terpencil.
Dengan pakaian seragam putih dan berkasut hitam , saya hanya mengilik fail dan buku rujukan khususnya buku tebal Prinsip-Prinsip Ekonomi Hujaran Singh. Lencana sekolah dengan megah di semat di dada kiri. Ini adalah gaya pelajar tingkatan enam.
Tradisi ini ujud dari keperluan semulajadi manusia pada alam remaja. Pada tahap ini , sesiapa saja mahu menonjolkan dirinya supaya kelihatan lebih hebat dari yang lain. Pelajar lelaki tingkatan enam merasakan saham diri mereka tinggi dan sering mahu di dampingi oleh pelajar perempuan tingkatan lima. Mereka dikatakan pelajar pra universiti. Mereka adalah segelintir dari saringan beratus-ratus pelajar tingkatan lima yang kandas. Puh , alangkah hebatnya.
Kebetulan pula mereka dihimpunkan di satu sekolah dibandar. Mereka berasal dari sekolah-sekolah menengah daerah lain dari pelosok kampung dan pekan . Sekolah-sekolah menengah daerah kampung tidak ada kelas tingkatan enam. Di Alor Setar , Sek.Men. Dato’ Syed Omar dan Kolej Sultan Abdul Hamid adalah dua sekolah menengah harian yang di sebut-sebut pada waktu itu di sisi sekelian pelajar. Sek. Men. Sultanah Asma di Jalan Langgar dan Sek. Men. Sultanah Bahiyah di Jalan Badlishah pula merupakan dua buah sekolah menengah perempuan yang mendampingi kedua-kedua sekolah ini. Tidak hairanlah kenapa pelajar-pelajar tingkatan enam begitu bergaya kerana mereka bagaikan anak-anak kumbang yang baru kembang sayapnya. Mula belajar terbang menghidu haruman kuntum-kuntum melur yang juga mula mercup mewangi .
Saya merasakan universiti sedang berada diambang mata. Keputusan ujian-ujian khas dan ujian bulanan tidak menunjukan tanda-tanda mengapa saya tidak boleh menjejaki kaki menaungi bumbung mana-mana menara gading. Hati saya berkata demikian. Keyakinan dan kemegahan ini sebenarnya melontarkan diri saya ke jurang bahaya.
“ Hang nak masuk U mana ?”
“ Malaya “ kata Saleh
“ Kebangsaan “ kata Md Jamil.
“ Teknologi “ kata Abu Samah
“ Sains “ kata Abdul Rahman
“ Habis , kalau Na’imah masuk maktab dengan aku macamana ? “ saya mengusik Abdul Rahman kerana saya tahu Abdul Rahman menyukai Naimah , pelajar ayu Enam Rendah yang berasal dari Langkawi itu.
“ Hang kena besilat dengan aku dulu ! “
“ Ha..ha..ha…haaaaa….”
Gema ketawa kami bergaung memanjang berkeluk-keluk menampan bas-bas dan dinding bangunan stesen di sekitar bersama deru enjin disel berasap hitam. Beberapa orang dewasa melihat dengan jelik akan kelakuan kami itu. Beberapa pelajar perempuan menjebih bibir dengan jelingan tajam tanda meluat dengan gelagat kami.
Rindu saya meruntun-runtun tanpa boleh di paut lagi. Saya mesti pergi ke Jalan Badlishah. Saya ingin melihat lukisan mural pada dinding sekolah yang saya lakarkan bersama Ali , Mariam dan Rosemalina samada masih kekal atau hanya tinggal dalam kenangan. Di situ lah tempat saya mula mengcungkil bakat terendam saya. Seterusnya memecah tradisi mengambil laluan tersendiri menempa bidang yang begitu asing kepada orang-orang kampung.
“ Ahmad ! Ahmad ! Hei …. Assalamu’alaikum ! “
Saya terpacak sejenak. Kulit putihnya. Mata sepetnya. Rambut tegaknya. Tetapi ada janggut tajam jarang-jarang. Pakai kopiah putih. Wajah yang tidak pernah datang dalam kenangan saya !
“ Loh Kim Hua …..
“ Muhammmad Ikram , sudah takdir ! “. Pintasnya memperkenalkan nama barunya.
“ Hang buat apa di sini ?” tanya Ikram Loh.
“ Merindui masa silam ….”
“ Oh ya , ya , kalau lagu tu , Jom pi rumah aku di bandar Darulaman . Kita boleh cerita panjang. Tentu syok dengak kisah seorang profesional ” katanya sambil sambil melepaskan dakapan sebagaimana dakapan orang-orang Arab ketika menemui sahabat-sahabatnya.
“ Aku nak dengar cerita hempa , Abdul Rahman , Saleh , Abu Samah , Jamil , Ali , Mariam dan lain-lain lagi…..
“ Depa semua macam aku jugak. Seperti bangau. Seperti seluang. Seperti belut. Bumi ini tempat dilahir , hendaknya disinilah juga kami di tanam...Abdul Rahman State Secretary di Wisma Negeri. Yang lainnya ramai jadi cikgu macam aku.
“ Baguih la Loh , berbakti kepada anak pribumi tu satu jasa yang tidak terbeli. Kita berjaya la ni pun ada berkat didikan guru-guru kita dulu jugak. Tentu ramai depa dah pencen. Cuma tinggai aku lagi dok jadi seluang yang jenuh melaut , belut yang lupa kat lubuk dan bangau yang tak gheti penat melayah…
“ Tu la, tapi takpa, hang masih buleh cakap loghat kita lagi no “
Kata Loh sambil tersengih lalu merentap tangan saya mengajak kerumahnya. Anak kacukan Siam Cina itu adalah seorang yang sangat suka menguji kesucian agama Islam suatu waktu dulu.
Angin perubahan yang melanda , zaman ikut berubah , siapa pun tidak boleh menduga , semuanya tertakluk didalam ilmu Allah azza wa Jalla. Ketika melintasi Pekan Tok Jalai untuk kerumah Loh di Bandar Darulaman, saya mencari-cari kedai kopi Harun , Tukang Jahit Lim dan Tukang Kasut Kulit Tok Jalai, tetapi semuanya sudah terturap oleh lebuhraya dua hala.
Seperti Pekan Tanah Merah yang samasekali lesap dan Jitra yang semakin pudar oleh wajah Bandar Darulaman , Pekan Tok Jalai juga membawa seluruh lakaran kisah alam kanak-kanak saya untuk selama-lamanya. Bagaikan asap perun longgokon jerami musim kering yang berkelun-kelun menipis dan terus lenyap di angkasa.

Friday 12 June 2009

TITIAN PERJALAN

Manik-manik embun yang silau berkaca-kaca
Telah pudar dihujung daun
Kelopak-kelopak yang segar mengembang
Telah layu di jambangan.
Hawa sejuk yang nyaman mengancam
Telah diserap menjadi haba

Berlalu lah pagi yang indah di taman…….

Tidak bersinar matahari melainkan menyiat-nyiat
Tidak bertiup angin melainkan menderu-deru.
Tidak terpercik keringat melainkan bersemburan

Mengiringi pemandangan berpinar
Mencari bekalan

Berlalu lah rembang yang pahit di bawah teduhan…..

Bebayang hala ke timur semakin panjang
Langit menjadi suram
Burung-burung mencari sarang
Mengejar matahari terbenam…..

Wahai pengembara !
Menjelang sudah waktu senja
Hentian di hampiri
Perjalanan seterusnya adalah infiniti !

Basuh lah kaki beruskan daki
Tukar lah pakaian andamkan diri
Cari lah pelita nyalakan sumbu
Perjalanan pada malam nanti
Tiada sesuatu melainkan kelam semata
Kita pasti merana
Jika tanpa cahaya bersama……

Wednesday 3 June 2009

Monolog Cinta

Dengan kata-kata yang bagaimanakah harus hamba mulakannya? Setelah hamba mengkhianati janji hamba dengan Tuanku. Setelah hamba mencarikkan kesetiaan hamba terhadap Tuanku. Setelah hamba mencurangi segala limpah kurnia Tuanku. Dan kini hamba ingin kembali kepada kasih sayang Tuanku yang syahdu itu.
Hamba tahu. Apabila hamba mengingati Tuanku, pasti Tuanku tidak akan lupa pada hamba. Apabila hamba ingin mendekati Tuanku, Tuanku terlebih dahulu mendekati hamba. Begitu agung cinta Tuanku. Bagaimana harus hamba ukur dengan alam sejagat ini. Apatah lagi dengan kereta BMW X5 itu.
Angin malam pun mengelus-ngelus. Bintang pada langit bertaburan. Kelip mengelip. Bukit bukau dan gunung ganang berbalam-balam dalam pandangan. Ada kokok ayam memecah kesepian. Salak anjing mendayu-dayu dari lereng-lereng jalanan. Kata arwah ibu, kokok ayam tandanya malaikat berlalu. Salak anjing yang mendayu itu pula setan bertamu. Waktu malam adalah dunia makhluk lain. Sebab itu semasa kecil dikampung dulu , malam begitu menggerunkan pada hamba.
Tuanku. Hamba tahu Tuanku lebih tahu dari hamba. Bahkan mahatahu dari segala sesuatu selama-lamanya. Namun hamba tetap ingin bercerita pada Tuanku tentang semua ini. Manusia sifatnya tidak boleh meyimpan rahsia. Mereka juga sentiasa silap membawa berita. Mereka boleh berbunuh kerana kesilapan sedemikian rupa. Adakalanya hamba dibelasah pula kerana dikatakan dusta. Sungguh, muka bumi ini penuh dengan rencah kerenah manusia.
Semasa awal remaja hamba di sisih dalam pergaualan kerana hamba anak miskin. Orang kampong , ada tok haji ada tok lebai, sebahagian besar memandang hamba tidak lebih seperti seekor anak kucing jalanan.
- Amad, sedar diri kamu tu.
- Apa salah kita Mak.
- Salah kita, tak ada harta. Tak banyak duit. Hidup menumpang tanah orang.
- Itu bukan satu kesalahan Mak. Itu cuma kekurangan. Satu kelemahan. Mengapa hendak dihukum.
- Orang yang susah sering menyusahkan orang senang. Menumpang tanah mereka. Meminjam basikal. Berhutang duit. Macam-macam.
- Tapi orang kaya patut tolong orang miskin mak. Orang senang patut tolong orang susah. Ustaz cakap macam tu.
- Kamu kecik lagi . Dah lah. Kutip sekerap tu cepat sikit.
Emak selalu meninggalkan soalan hamba tidak berjawab, Tuanku. Hamba selalu rasa tidak puashati. Hamba fikir emak tidak mahu bercakap benar dengan hamba. Hamba ingat emak pun cuba berhelah dengan hamba seperti orang lain jugak. Adakalanya hamba memberontak terhadap emak. Ada ketika pula emak merotan hamba. Terutama apabila emak terlalu penat mengandar baldi susu getah untuk dibawa ke gudang beku dan hamba mengengkar arahannya.
Tuanku, di sekolah hamba sering didenda oleh guru kerana kerja sekolah yang tidak siap, tidak cukup kelengkapan belajar dan lewat membayar yuran-yuran tertentu. Rakan-rakan sering mengejek hamba. Tidak ramai seperti Siti Rokiah yang baik hati itu. Gadis manis itu selalu meminjam hamba peralatan seperti pemadam, pensil dan juga buku-buku teks. Hamba terhutang budi kepadanya Tuanku. Hamba pasti Tuanku sentiasa menghargai orang seperti itu. Hamba berharap kami akan terus dapat meneruskan pelajaran bersama. Malangnya selepas peperiksaan SRP, dia terpilih ke sekolah asrama penuh. Penyaringan kasta bermula seawal peringkat ini.

Selepas pelajaran menengah, hamba diberi peluang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi awam tempatan jauh dari kampung halaman. Itulah kali pertama hamba keluar dari daerah kelahiran hamba semenjak dilahirkan sembilan belas tahun lalu.
Tuanku, emak menjual lembu tunggal kesayangannya dan hamba datang ke ibukota seperti seekor rusa memasuki kampong. Di sini buat kali pertama hamba di pedaya oleh manusia kotaraya ketika kehilangan arah mencari destinasi. Tuanku ampunkan lah mereka ini. Mereka sungguh berani barangkali kerana mereka jahil. Barangkali mereka membalas dendam kerana kehidupan disebuah kotaraya yang senarionya begitu rupa.
Menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus hampir mematahkan semangat hamba untuk belajar. Di medan ini hamba menemui seorang gadis yang telah merampas ingatan dan merebut kasih hamba dari Tuanku. Setiap detik hamba tidak berupaya melupainya. Hamba hampir menjadi gila apabila ia meninggalkan hamba begitu saja. Maafkan lah dia Tuanku. Wajah yang jelita menyebabkan dia lupa akan dirinya seketika. Pada setiap kesempatan yang ada , dia pergunakan sepenuhnya. Hamba menuduhnya tidak pandai bersyukur dengan kurniaan itu. Hamba tahu pasti ada baiknya Tuanku memisahkan kami. Sesungguhnya Tuanku amatlah mengetahui.
Kekecewaan itu sebenarnya membuat hamba bertambah cekal. Ia pengalaman sangat berguna. Hamba tersedar dari lamunan yang seketika itu. Perjuangan masih jauh dan mesti diteruskan. Halangan perlu diatasi dengan tabah dan berani. Liku-liku kehidupan kampus bagaikan teka teki Tuanku. Sepeti logamaya dikejauhan mata memandang dikala teriknya panas matahari bersinar. Sedikit demi sedikit hamba mula mempelajari.
Pada satu penghujng musim Angin Monsun Barat Daya bertiup, satu pesta konvokesyen diadakan. Pesta ini keramaian meraikan kemenangan meraih kejayaan. Bererti satu episod perjuangan berlalu dan satu episod lagi menunggu. Episod fasa dua. Tuanku tentu lebih mengetahui dan hamba merasa semakin gusar.
Benar Tuanku. Gelanggang ini lebih hebat. Lebih global. Lebih banyak teka teki yang amat sukar dimengerti.
Emak sering berpesan hendaklah sentiasa amanah laksanakan tugas. Hendaklah taat menepati masa. Jujur dalam pergaulan. Berbuat baik dengan semua orang. Hulurkan bantuan di kala mereka memerlukannya. Jangan sekali-kali memalukan kedua ibu dan bapa. Dan paling penting hendaklah kuat dan tabah menanggung sabar terhadap setiap apa jua perkara yang tidak menggembirakan.
Tuanku. Di arena pekerjaan saingan sangat hebat. Pangkat menjadi matlamat hampir oleh semua orang. Rebutan mendapatnya seolah enau dalam belukar Tuanku. Jika perlu di cantas, maka tercantas lah. Jika perlu memijak maka terpijaklah. Sementara ganjaran tidak pernah mencukupi. Apakah tanggungan hidup sentiasa meningkat seiring beredarnya masa. Adakah memang harga kehidupan sangat tinggi nilainya. Ataukah memang manusia ini memang sifatnya sentiasa begitu. Tidak pernah mencukupi. Tidak pernah puas hati.
Hamba melihat mereka ini sangat gigih. Pada siangnya mereka bertugas di pejabat atau di bengkel . Di makmal dan di studio. Bahkan di dewan kuliah dan di bilik darjah. Pada malamnya mereka menjadi jaga di kilang dan gudang. Mereka berniaga di pasar malam. Mereka menganjurkan parti jualan lansung. Tidak kurang pula yang menguruskan perniagaan sendiri. Mereka mendurhakai Tuanku . Mereka mempersekutui majikan. Sebagaimana hasrat setiap lelaki mahu memilki empat isteri.
Masa menjadi sangat pendek. Sehinggakan waktu solat pun tercuri.
Tuanku, hamba melepaskan jawatan awam kerana senario ini. Hamba mahu mengambil jalan sunnah mencari rezeki.
Pentas perniagaan percaturannya sungguh sengit. Kebenaran bukan lagi ukuran. Kejujuran bukan lagi hujah dan sandaran. Kecemerlangan sifatnya kebendaan. Senarionya seperti setiap pelayar yang mahu melepasi Tanjung Pengharapan di Afrika Selatan.
- Dimana bumi dipijak di situ langit perlu di junjung. Berenang kalau menongkah arus, penat kerja nya Amad - begitu pendapat Ali.
- Bukankah ubat itu sifatnya pahit ?
- Itu falsafah kuno. Benda pahit tidak diminati pada era milanium. Biar pun manis itu racun orang tetap mengerumuni. Jadi lah seperti semut yang sanggup mati kerana gula.
Ali melepaskan tawa yang panjang, mencuri pandangan pelanggan disekitar kedai kopi kampung di pinggir Kota lembah milanium Multimedia.
Tidak hairan lah Ali mampu memandu pacuan empat roda Storm untuk aktiviti masuk hutan. Meluncur dengan MPV Nazaria ketika balik bercuti dikampung bersama keluarga. Bergaya dengan Mercedes Kompressor bertandang ke kelab Golf.
Selain bertugas sebagai juruteknik, Ali mempunyai rangkaian restoran tomyam di sekitar Lembah Kelang. Ali juga kontraktor kelas F.
- Orang macam kita ,kalau mahu kaya, kena kerja meniaga Amad. Makan gaji takat cukup makan saja. Lain la kalau pangkat besar. Dalam perniagaan tak ada protocol. Kelulusan akademik bukan keutamaan. Peluang meningkat tiada halangan. Hang tengok la Dato’ Boon tu.
- Habis yang hang makan gaji dan berniaga serentak tu lagu mana pulak!
- Ini trend semasa. Makan gaji cari kontek. Meniaga cari fulus. Tak ada kontek payah fulus daa.
Tidak lama lepas itu hamba melepaskan jawatan hamba dalam sektor awam setelah dua puluh tahun berkhidmat Tuanku. Hamba terjun ke dunia perniagaan bulat-bulat macam peserta lompat terjun dikolam renang. Hamba mahu membebaskan diri dari belengu hutang yang merantai keliling pinggang. Hamba mahu membantu sanak saudara dengan mencipta peluang kerjaya melalui perniagaan.
Dua tahun berlalu, hamba mula terasa kehilangan banyak perkara Tuanku. Tidak seperti dulu lagi. Masa untuk balik kampung sudah tidak ada. Masa untuk bersantai dengan anak-anak pada musim cuti sekolah sudah tidak terdaya. Bahkan hari demi hari hamba merasakan makin hampir kembali ke zaman silam semasa kanak-kanak di kampung dulu. Sementara sara hidup makin tinggi, pendapatan perniagaan hamba makin rendah. Perniagaan rupanya menuntut pertarungan lebih sengit Tuanku. Medan ekonomi era milanium tidak seperti zaman dulu. Segala teknik perlu diguna. Belas kasihan menjadi perkara nombor dua. Kepercayaan perkara nombor tiga belas. Keluhuran mungkin nombor dua puluh lima.
- Ini dunia perniagaan Amad. Macam hidupan liar di Gurun Sahara yang hang tengok dalam cerita dokumentari. Hanya satu menjadi pegangan. Survival. Kalau tidak membunuh hang akan dibunuh. Kalau tidak mencantas hang akan dicantas. Matlamat mesti dicapai.
- Kalau kijang bagaimana ?
- Jenuh la melarikan diri. Selain binatang pemangsa, manusia pun turut memburu.
Tuanku. Hamba menjadi lelah Tuanku. Kehidupan perlu diteruskan. Tanggungjawab mesti dipikul. Amanah wajib dilaksanakan. Sedang kekuatan semakin lemah.
- Amad, mari ikut aku. Masuk jamaah. Tuntut ilmu agama. Kuatkan iman hadapi semua cabaran dengan gigih.
- Aku bukan pelarian.
- Kita perlu jamaah Amad. Jangan jadi seperti seekor kambing di padang ragut. Nanti dibaham serigala.
Hamba akhirnya akur dengan sahabat tersebut. Hamba menyertai sebuah jamaah. Hamba mahu mencari sesuatu yang tidak lagi mudah diperolehi pada zaman mutakhirin ini.
Malangnya Tuanku, senario di dalam jamaah lebih hebat dan dasyat. Barangkali seumpama durian Siam di pasar borong. Wajahnya sungguh hebat dan kagum. Tetapi aromanya tiada. Isinya kuning dan tebal tetapi lemaknya luntur. Tawar heber. Bahkan adakalanya matlamat telah menghalalkan cara. Sedangkan Tuanku telah bertitah jangan sekali-kali menghalalkan cara demi matlamat.
Tuanku. Pengembaraan perlu diteruskan. Perjalanan telah jauh ditinggalkan. Perhentian makin dihampiri.
Dikedai kopi tepi jalanan, hamba menemui ramai kenalan dan kawan. Semua bercerita tentang persahabatan. Perngorbanan. Kesetiaan. Memang benar . Cerita memang seronok. Enak macam teh tarik atau kopi Jantan. Sedap macam meehun sup tulang rusuk lembu. Sebenarnya ia tidak lebih dari hiasan semata. Sementara musim subur dan buah-buahan lebat menjadi. Dikala musim kering dimana alur menjadi kontang merekah, tiada ramai yang mahu bercerita mengenai kisah sedih dan duka.
Adakah ini rasmi sebuah kehidupan, Tuanku?
Angin dingin menyengat-nyegat. Kokok ayam bertali-tali mengisi ruang. Tidak lama selepas itu sayup-sayup suara azan mengalun dari masjid di hujung taman.
Tuanku.
Kepada Mu hamba pasrah. Kepada Mu hamba berserah. Hanya kepada Mu Tuanku. Tidak kepada yang lain melainkan semata-mata kepada Tuanku. Pandanglah hamba.
Terimalah kembali kasih sayang hamba. Tuanku ! Terima lah !

Tatakala matahari tersembul dari celah banjaran menyimbahkan sinarnya di Bandar Nilai, lori sewa yang membawa barangan dan keperluan keluarga hamba mula bergerak meredah lebuhraya ke Utara.

Balik kampong tanam jagung.