Sunday 17 January 2010

Part 11 - Kota Heidelberg

Pada suatu hujung minggu saya pergi ke bandar Heidelberg. Bandar ini terletak di lembah antara dua buah bukit. Mengalir ditengahnya sebatang sungai yang amat jernih airnya. Kelihatan anak-anak ikan berkejaran seperti kita melihat sungai-sungai pendalaman di negara kita. Bezanya, sungai ini merentas sebuah bandar kosmopolitan dan kawasan perumahan padat sebuah kota seperti KL tetapi kebersehan airnya amat menakjubkan.
Bandar Heidelberg sepeti Bandarya Melaka. Ia sebuah kota sejarah, peninggalan kesan pemerintahan sistem beraja Jerman yang telah berkubur. Kota lama ini terletak di atas bukit sebagaimana kedudukan kota-kota kerajaan lama. Heidelberg juga dikatakan bandar terindah di Jerman. Memang benar. Ketika mengunjungi nya, ia dalam permulaan musim luruh. Kehijauan daun bertukar merah. Sebahagian pokok pulak telah gondol. Kombinasi ini melahirkan suatu lanskap sungguh menarik.
Ketika merayau dalam bandar saya terjumpa sebuah kedai menjual pisau Rambo. Terdapat berbagai jenis pisau yang amat menarik. Memang saya sedang mencari jenis pisau ini yang amat berguna dalam aktiviti berkhemah dan mendaki gunung. Malangnya kedai tersebut tutup sekejap untuk makan tengahari. Saya hanya meleleh air liur mengintai dari cermin pameran. Lama juga saya menunggu, tetapi tuan punya kedai tidak muncul-muncul. Akhirnya saya mengalah. Mungkin saya boleh datang pada waktu lain. Saya pun berlalu.
Di tengah-tengah bandar Heidelberg terdapat sebuah universiti terkemuka iaitu Universiti Heidelberg. Universiti ni amat terkenal dengan kursus teknikal bidang percetakan. Barangkali seperti Oxford dalam bidang sains politik dan commerce atau MIT dalam bidang kejuruteraan. Sebab itu kita dapati mesin percetakan lama di negara kita dari buatan Jerman yang masyhur berjenama Heidelberg.
Sayangnya amat kurang pelajar kita menuntut disana. Rakyat kita lebih suka ke England dan Amerika berbanding Jerman. Teknologi dan kepakaran Jerman dalam bidang teknikal berkualiti amat tinggi. Mungkin kerana faktor bahasa. Orang Jerman mempunyai jatidiri sangat tinggi sehingga tiada toleransi dalam bahasa. Sesiapa hendak belajar disana, wajib faseh berbahasa Jerman. Peluang ini biasanya direbut oleh rakyat Algeria dan sebahagian kecil orang Indonesia.

Tuesday 5 January 2010

part 10 - Made in Sri Lanka

Sepanjang tinggal dengan keluarga Maucher, pakaian saya di basuh oleh Pn. Miriam. Saya hanya perlu kumpulkan pakaian kotor dalam bakul tersedia sebelum pergi kerja. Bila balik pada waktu petang, saya dapati semua pakaian telah dicuci siap dengan sterika sekali.
Pada mula-mula dulu, Pn Miriam mencuci semua pakaian saya tanpa tinggal sehelai pun. Tetapi dia tinggalkan sehelai kemeja kapas warna putih saya tidak di sterika. Saya sangkakan ia terlupa atau tercicir. Saya bukanlah peduli sangat. Saya pakaikan juga kemeja kedut-kedut itu. Lagipun ada coat di luar. Kedut-kedut itu dapat disorok.
Pada kali kedua, Pn. Puan Miriam tinggalkan kemeja putih tersebut tidak berbasuh. Dia keluarkan dari bakul dan letak atas tilam. Pun saya tidak peduli. Saya masih fikirkan ia tercicir lagi. Saya basuh sendiri kemeja tersebut dan saya pakai seperti biasa.
Pada kali ketiga, saya dapati Pn. Miriam keluarkan juga kemeja tersebut dari bakul dan letak atas katil. Saya mula berfikir. Tidak mungkin tercicir lagi. Perkara sama berlaku berulangkali bermakna bukan kesilapan lagi. Ia disengajakan. Tetapi mengapa. Apa sebabnya kemeja sehelai itu enggan dibasuh oleh Pn. Miriam. Persoalan ini bermain difikiran saya.
Pada hari minggu berikutnya saya berkesempatan bertemu Maucher. Saya lantas bertanya.
" Maucher, sudah dua tiga kali isteri anda tertinggal membasuh sehelai kemeja saya"
Maucher tersenyum dan menjawab
" Oh, tidak Mr. Saman. Dia memang tidak membasuhnya kerana baju tersebut buatan Sri Lanka! '
" Ooo.. apa kaitan dengan baju buatan Sri Lanka dengan anda?
" Kami di Eropah memulaukan produk teksil dari India dan Sri Lanka kerana negara-negara tersebut menggunakan buruh kanak-kanak untuk menghasilkan produk tektil. Itu sebagai tanda kami mengambil bahagian dalam kempen penentangan ini.
Saya terkedu lagi. Penyatuan orang-orang Eropah sangat kuat dan intim. Bukan setakat kerjasama keselamatan yang di terjemahkan melalui NATO atau ekonomi dari segi nilai matawang Euro, bahkan sehingga hal paling remeh dan kecil seperti tidak membasuh sehelai baju kemeja tetamu mereka semata-mata kerana kemeja tersebut ada terulis disana " Made in Sri Lanka".