Tuesday 15 September 2009

part 4

Anne sudah sedia menunggu bila saya tiba. Hentian bas itu agak sibuk. Rakyat Jerman suka guna kenderaan awam. Kami menaiki sebuah bas.
' Morgan !' jerit Anne kepada drebar bas.
" Morgan" balasnya.
Saya pun turut menyebut juga bila pemandu itu memandang saya. Dia pun membalas dan tersenyum. Biasanya mereka menyebut morgan sahaja bagi maksud selamat pagi. Sebutan penuh ialah guten morgan.
Dalam lima belas minit kami sampai di Fachinformationzentrum. Sebuah institusi latihan dan pengurusan maklumat dalam bidang sains dan tenaga nuklear. Anne membawa saya menemui penyelia saya Mrs. Dagmar Marek.
" Hai Mr. Saman. Selamat Datang ke FIZ Karlruhe. Selalu berhubung dengan emel, kini kita bertemu muka. Apa khabar? Bagaimana perjalanan anda? Semua OK?"
" Ya. Semua OK puan! Gembira dapat datang sini"
"OK. Bagus. Harini biar saya kenalkan anda dengan tempat ini dan orang-orangnya."
Mrs. Marek membawa saya menemui setiap pekerja disitu. Mereka semua besar-besar badannya. Kaum perempuan juga. Kepala saya pada aras bahu mereka saja. Ketinggian 1.75 meter saya menjadi kulup dikalangan mereka.
Akhir sekali saya diperkenalkan kepada Peter Tholey, mentor teknikal saya. Peter akan menjadi rakan sekerja yang akan membimbing saya selama disana. Tidak jauh dari tempat Peter, mereka menyediakan sebuah bilik pejabat untuk saya. Lengkap dengan perkakas IT yang diperlukan.
"Ini pejabat anda. Kamu periksa lah. Kalau ada keperluan lain, beritahu saya" Kata Mrs. Marek.
" OK, Puan"
Mrs. Marek mencapai telefon. Dia bercakap sesuatu dalam bahasa Jerman.
" Sekejap lagi Anne akan datang dan membawa kamu melawat bahagian lain institut ini. Anne akan bawa kepejabat sekuriti untuk buat pas keselamatan dan tunjukkan bank, pejabat pos, kedai buku,kedai dan kantin. Besok anda akan mula bekerja"
" Ok puan. Terima Kasih"
" Minggu hadapan rakan-rakan pelatih anda dari Mesir, China dan India akan tiba. Mereka semua lima orang. " kata Marek sebelum meninggalkan saya.

Saturday 12 September 2009

Part 3

Saya dengar nama dipanggil sayup dihujung telinga. Berulang-ulang. Kemudian terasa bahu digoncang. Akhirnya saya tersedar dari tidur tengahari itu.
Maucher berdiri disisi katil bersama seorang wanita. Mereka tersenyum sambil memohon maaf. Saya tersipu-sipu sambil menyapu air liur basi.
" Saya Anne. Saya ditugaskan membantu kamu membiasakan diri di bandar ini"
" O terima kasih"
" Kalau bersedia, boleh lah kita pergi sekarang"
"OK"
Anne dan saya berjalan kaki sahaja. Dalam sepuluh minit kami tiba di satu landasan keretapi yang merentasi kampung itu. Kami menyusuri landasan seketika sebelum tiba pada satu pondok kecil tempat menunggu - seperti pondok hentian bas.
"Kita akan menggunakan Tram untuk kebandar. Anda boleh menaikinya di stesen ini. Tiket boleh dibeli diatas Tram atau kat kedai-kedai buku." Trem ialah comuter kalau kita di Malaysia.
Saya hanya menganggukkan kepala. Tidak lama lepas itu kelihatan sebuah Tram menyulur dan berhenti. Anne mengajak saya naik. Sebelum itu dia bercakap sesuatu dengan drebar Trem itu. Drebar Trem itu menganggukkan kepala sambil memandang saya.
Perjalanan dari Eggeinstein ke Bandar Karlsruhe mengambil masa 40 minit. Sepanjang perjalanan itu Trem boleh berhenti di pondok-pondok hentian dengan bebas. Begitu juga perjalanan dalam bandar. Turun saja Trem terus masuk kedai atau pusat beli belah.
Bandar Karlruhe hanya lah pekan kecil yang tidak terkenal di Jerman. Tidak seperti Munich, Stutgart, Heidelberg dll. Namun meronda persekitaranya membuat saya lenguh lutut walaupun dalam suasana suhu awal musim luruh yang agak sejuk.
Anne mengajak saya minum di sebuah open cafe. Menurut Anne, minuman kegemaran mereka ialah Cappucino. Saya pun setuju dengan cadangan nya itu. Cappucino sungguh pekat dan kuat aromanya. Kemudian dia memesan buah berangan goreng. Orang Jerman sangat suka makan buah berangan.
Sepanjang minum dan berjalan-jalan dibandar itu, kami menjadi perhatian umum. Saya rasa macam selebriti pulak. Ini kerana bandar itu sangat sukar hendak menemui orang asing, apa lagi berpasangan dengan seorang wanita Jerman.
Menjelang petang baru kami pulang ke Eggenstein. Anne telefon suaminya yang baru pulang dari kerja. Suami Anne tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Dia hanya tersenyum simpul menyambut tangan saya ketika diperkenalkan. Kemudian Anne dan suaminya menghantar saya kerumah Maucher.
" Esok pagi jumpa anda disini. Kita ke Intitut bersama menggunakan bas " jerit Anne sebelum meninggalkan saya.
Maucher telah siapkan semua peralatan memasak di dapur. Dia juga sediakan sebuah bakul untuk baju kotor.
" Anda boleh memasak sendiri. Semua peralatan telah saya sediakan. Pakaian kotor anda nanti masukkan dalam bakul. Isteri saya akan menguruskannya. Kalau ada apa-apa , panggil saja saya."
Sebaik Maucher pergi, saya memeriksa semua peralatan dapur. Semuanya berseh ,teratur dan lengkap. Cuma satu masalah saya sekarang, iaitu takut ianya tidak suci atau telah digunakan keatas benda-benda yang hukumnya haram. Perut pun dah mula gelodak. Cuaca sejuk rupanya perut cepat lapar.
Akhirnya saya mengambil sebuah mangkuk dan keluar ke laman belakang rumah. Menceduk semangkuk tanah dan bawa masuk kedalam rumah secara senyap. Malam itu saya samak semua peralatan dan kelangkapan dapur.
Kalau lah maucher ternampak gelagat saya, pasti dia kata orang Malaysia gila.

Tuesday 8 September 2009

Part 2

Maucher dengan isterinya Miriam menyambut saya dengan mesra. Mereka sediakan sebuah ruang lengkap dengan bilik tidur, dapur ruang tamu dan tandas. Kadar sewa RM1200.00 sebulan. Rumah Maucher terletak di sebuah kampong bernama Eggeinstein -Leoposhafen tidak jauh dari bandar Karlruhe dalam wilayah Baden-Baden bersempadan dengan Perancis di selatan, Swiss di timur dan Luxemborg di barat.
"Selamat datang ke Deutchland! kata Maucher dengan ramah.
" Punggah barang kamu dulu. Lepas itu ikut pemandu ke balai penghulu kampung. Daftar nama awak disana. Saya difahamkan lepas tengahari nanti seseorang akan datang menjemput kamu" sambungnya lagi.
"Oh. Terima Kasih Maucher" kata saya.
Di balai penghulu saya perlu mengisi satu borang. Mereka meminta sekeping gambar. Setelah semua selsesai gambar ID saya itu dilekatkan atas sekeping kertas A4 berserta beberapa maklumat dalam bahasa Jerman kemudian mereka tampal di notice board. Ia tanda pengenalan kepada semua orang kampung bahawa saya seorang asing yang menumpang dikampung tersebut untuk sementara.
Dalam hati saya berkata " Wah, begitu sistematik sekali pentadbiran hangpa no"
Selepas semua selesai saya balik kerumah Maucher. Rasa badan pun agak letih selepas penerbangan selama lebih 16 jam dengan Luftansa. Sementara menunggu seseroang yang Maucher sebut tadi, saya baring-baring atas katil nak lepaskan lelah dan terus terlelap.

Sunday 6 September 2009

Kisah Lama Yang tidak Basi 1

Suasana pagi pada permulaan musim luruh. Cahaya matahari segar menyinar. Daun-daun pokok kiri kanan lebuhraya mula kemerahan. Suhu sekitar 12 darjah Celcius.
Dengan kelajuan 170kmj, perjalanan dari Lapangan Terbang Frankfurt ke bandar Karlruhe arah keselatan Jerman mengambil masa lebih kurang dua jam. Disamping teruja dengan iklim baru yang tidak pernah saya rasa selama hayat, perut menjadi gayat pada kelajuan yang sedemikian. Pemandu yang badannya besar itu bersiul-siul kecil. Untuk mengelak kelajuan meningkat saya cuba ajak dia berbual.
"Berapa umur anda?"
" 70 tahun" jawabnya.
" Anda berasal dari Karlruhe?'
"ya" jawabnya lagi.
" Berapa jauh dari sini ?'
' Kejap lagi sampai lah .."
" Laju anda memandu! "
" Kelajuan biasa" katanya selamba.
170kmj biasa kata dia. Tapi memang benar pun. Sesekali dia masuk lane tepi bagi ruang kepada kereta lain yang melecup pergi. Ertinya kalau kami dah 170 berapa agak mereka itu? Apakah tidak ada perangkap hadlaju ?
Dia langsung tidak mahu layan saya bercakap, sebaliknya menumpu perhatian kepada pemanduan. Kelajuan 170kmj tak turun sikit pun. Saya takut bukan sebab kelajuan sangat tetapi memikirkan umurnya. Jarang orang veteran sebegitu kalau di Malaysia berani memandu sedemikian laju. Tetapi respon pemanduannya sangat bagus. Barangkali kerana kereta tersebut Mercedes E240. Saya akhirnya pejam mata saja. Tak jadi nak menikmati pemandangan pagi pada awal musim luruh yang cantik itu.
Tidak lama kemudian saya tersedar apabila kereta berhenti di tepi sebuah rumah dalam sebuah kampung.
"Sebentar.." katanya sambil membuka pintu kereta dan bergegas pergi ke sebuah rumah. Barangkali rumah dia atau sedaranya.
Saya melempar pandangan pada sekitarnya. Landang jagung dan asparagus sejauh mata memandang seperti bendang padi di Sungai Korok. Sungguh cantik disimbah sinar matahari pagi. Bila saya buka tingkap, udara dingin menyerbu masuk. Terasa nyaman dan segar.
Sedang saya menikmati suasana itu, pemandu tadi kembali dan berkata;
" Ayuh, kita ke rumah penginapan anda di sebuah kampung tidak jauh dari sini."