Suasana pagi pada permulaan musim luruh. Cahaya matahari segar menyinar. Daun-daun pokok kiri kanan lebuhraya mula kemerahan. Suhu sekitar 12 darjah Celcius.
Dengan kelajuan 170kmj, perjalanan dari Lapangan Terbang Frankfurt ke bandar Karlruhe arah keselatan Jerman mengambil masa lebih kurang dua jam. Disamping teruja dengan iklim baru yang tidak pernah saya rasa selama hayat, perut menjadi gayat pada kelajuan yang sedemikian. Pemandu yang badannya besar itu bersiul-siul kecil. Untuk mengelak kelajuan meningkat saya cuba ajak dia berbual.
"Berapa umur anda?"
" 70 tahun" jawabnya.
" Anda berasal dari Karlruhe?'
"ya" jawabnya lagi.
" Berapa jauh dari sini ?'
' Kejap lagi sampai lah .."
" Laju anda memandu! "
" Kelajuan biasa" katanya selamba.
170kmj biasa kata dia. Tapi memang benar pun. Sesekali dia masuk lane tepi bagi ruang kepada kereta lain yang melecup pergi. Ertinya kalau kami dah 170 berapa agak mereka itu? Apakah tidak ada perangkap hadlaju ?
Dia langsung tidak mahu layan saya bercakap, sebaliknya menumpu perhatian kepada pemanduan. Kelajuan 170kmj tak turun sikit pun. Saya takut bukan sebab kelajuan sangat tetapi memikirkan umurnya. Jarang orang veteran sebegitu kalau di Malaysia berani memandu sedemikian laju. Tetapi respon pemanduannya sangat bagus. Barangkali kerana kereta tersebut Mercedes E240. Saya akhirnya pejam mata saja. Tak jadi nak menikmati pemandangan pagi pada awal musim luruh yang cantik itu.
Tidak lama kemudian saya tersedar apabila kereta berhenti di tepi sebuah rumah dalam sebuah kampung.
"Sebentar.." katanya sambil membuka pintu kereta dan bergegas pergi ke sebuah rumah. Barangkali rumah dia atau sedaranya.
Saya melempar pandangan pada sekitarnya. Landang jagung dan asparagus sejauh mata memandang seperti bendang padi di Sungai Korok. Sungguh cantik disimbah sinar matahari pagi. Bila saya buka tingkap, udara dingin menyerbu masuk. Terasa nyaman dan segar.
Sedang saya menikmati suasana itu, pemandu tadi kembali dan berkata;
" Ayuh, kita ke rumah penginapan anda di sebuah kampung tidak jauh dari sini."
No comments:
Post a Comment