Wednesday 22 September 2010

BREAKDOWN DI HIGHWAY


Seperti dijanji, saya bertemu semula dengan Jamal lewat petang itu. Sesudah bersalaman dengan Rusli dan keretapi ke Gent bergerak, saya dengan Jamal memulakan perjalanan untuk balik ke Jerman. Keluar dari bandaraya Brussel, kami singgah sebentar mengisi minyak dan minum kopi di hentian rehat tepi lebuhraya di pinggir bandar. Selepas maghrib kami sudah berada di atas lebuhraya utama E411 menghala Luxembourgh.
Jamal memecut kereta opel itu sehabis kederat. Kami mahu sampai di Jerman sebelum lewat pagi kerana besok hari Isnin dan kami bekerja. Sambil itu Jamal tidak habis habis bercerita. Saya hanya mendengar kerana hati tidak berapa tenteram duduk di kerusi sebelah pemandu dalam kereta yang di pandu laju.
Dua jam perjalanan tiba tiba saja kelajuan menjadi perlahan mendadak dan terus terhenti. Jamal memaut stering ke tepi lorong dan ternyata enjin kereta senyap sepi. Jamal cuba memutar kekunci tetapi senyap. Ada sesuatu yang tidak kena. Kami keluar memeriksa. Sebaik bonet dibuka asap berkelun menerjah udara.
Belum sempat kami memeriksa lebih lanjut, sebuah kereta berhenti di belakang dengan lampu siren terpasang. Dua lelaki berunform menghampiri dan bertanya
" Apa yang berlaku? Ada masalah ?"
" Ya, kereta ini tiba tiba mati sedang kami dalam perjalanan" jawab Jamal.
" Biar kami periksa. Kalau boleh di bantu"
" Silakan. Terima Kasih"
Mereka memeriksa dan mencuba beberapa komponen asas kemudian menemui jawapan.
" Blok enjin kereta ini sudah pecah. Ia perlu di tukar. Anda berdua hendak kemana?.
" Oh..Tuhan. Kami hendak balik ke Jerman!" kata Jamal.
" Pilihan yaang kamu ada ialah tunda kereta ini ke pekan terdekat dan bermalam di sana. Masih awal lagi. Harap ada bengkel dan hotel untuk anda"kata peronda lebuhraya itu sambil menghubungi kereta tunda.
" Dalam lima belas minit lagi kereta tunda akan sampai dan membawa kamu ke pekan Spontin tidak jauh dari sini. Harap kamu bernasib baik" kata peronda itu sambil beredar kekereta mereka dan memasang isyarat kecemasan.
Saya mengajak Jamal masuk kedalam kereta. Ketika itu sekitar pukul sembilan malam. Cuaca musim sejuk menggigit gigit. Saya mula risau kerana dalam cuaca begini boleh kah bertahan duduk dalam kereta sehingga pagi.
"Jangan risau Ahmad. Saya ahli ADAC. Saya layak mendapat bantuan kecemasan begini untuk dua orang menginap di hotel percuma semalam dan boleh mendapatkan kereta sewa untuk balik ke Jerman jika terkandas di mana mana dalam negara EU ini. Cuma kita lewat satu hari dan kena ponteng hari Isnin."
"Bagaimana kalau hotel penuh ? tanya saya.
" Itu masalah. Harap harap tidak" kata Jamal menyedap hati sendiri.
Lebih kurang lima belas minit, sebuah kereta penunda tiba dan kereta kami di tunda ke sebuah bengkel yang juga penjual kereta di Pekan Spontin, Belgium.. Sementara Jamal berurusan dengan pemilik bengkel, saya melihat lihat bilik pameran di mana terdapat kereta Proton Wira Aeroback dipamerkan. Versi Eropah di kenal dengan Proton 130, 160, 180. Saya melihat tag harga dipamer. Hanya RM38,000.00. Harga yang kompetitif dengan kemasan yang lebih teliti berbanding model tempatan. Sesuai untuk spesifikasi orang Eropah.
" OK Ahmad. Kita pergi cari hotel. "
Kami beredar ke satu satunya hotel di pekan kecil itu. Dan sekali lagi nasib menyebelahi kami. Masih ada bilik kosong dan dengan kad keahlian ADAC Jamal, kami boleh menginap di situ percuma selama semalam untuk dua orang termasuk makan dan sarapan.
" Besok saya akan pergi cari kereta sewa. Awak tunggu di sini sehingga saya datang. InsyaAllah lewat petang kita akan tiba di Jerman" Jamal membuat perancangan.
" OK. Ikut pandai awak. Saya mengikut saja."