Tuesday, 1 December 2009

Part 6

Bekerja dengan orang Jerman memberi saya satu pengalaman baru. Mereka amalkan sistem waktu anjal dalam perkhidmatan. Setiap pekerja di beri satu kad elektronik yang akan mencatatkan waktu keluar masuk mereka semasa bekerja. Walaupun waktu pejabat di tetapkan dari pukul 8 hingga 5 petang, tapi mereka tidak terikat sepenuhnya dengan waktu tersebut. Mereka bebas keluar masuk pejabat tetapi setiap kali hendak keluar masuk mesti direkodkan menggunakan kad tersebut. Waktu kerja untuk sebulan akan dikira dari rekod yang tercatat melalui kad elektronik tersebut.
Selain itu mereka sangat menepati waktu terutama mesyuarat. Semua ahli mesti hadir tepat pada waktunya atau lebih awal. Menurut Peter, jika ada ahli yang lewat lima minit, mesyuarat hari itu akan di batalkan dan di tunda ke tarikh lain. Sebab itu saya dapati lima minit sebelum mesyuarat , semua ahli sudah siap sedia di tempat masing-masing.
Di pejabat, saya diberi sebuah bilik lengkap dengan sebuah PC dan email. Ia memudahkan saya menghubungi rakan-rakan di tanah air. Kuatnya semangat jatidiri Jerman, mereka menyediakan PC berbahasa Jerman kepada saya. Terpaksa lah saya mengadu dengan Mrs. Marek dan seorang programmer kemudian menyelesaikan masalah saya.
Di luar bilik, rakan-rakan fellow saya dari China, India dan Mesir berkongsi kemudahan di medan lapang. Saya tidak tahu kenapa mereka mengasingkan saya dari rakan-rakan fellow itu sedangkan semuanya pakar-pakar dan professor di China, India ataupun Mesir.
" Mengapa kamu dapat bilik asing, sedangkan kami kena berkongsi ramai-ramai disini ? tanya tanya Dr. Nair kepada saya.
" Sebab saya orang Malaysia kut" seloroh saya
" Sudah lah, apa lebih Malaysia? "
" Banyak kelebihannya ! balas saya.
Dr. Nair bengang dengan jawapan saya tetapi dia senyum saja. Dia berasal dari Mumbai dan menurut nya hidup berjiran dengan keluarga Muslim di disana. Sebab itu dia faham sedikit sebanyak tentang agama Islam.
Seperti Ass. Prof. Feng Peijuan dari China, Dr. Nair juga sangat berjimat cermat. Setiap hari mereka membawa bekal ke pejabat. Dua keping sandwich dengan sebiji epal. Mereka tidak keluar merayau tiap-tiap minggu. Mereka juga menyewa flat secara ramai dengan kos lebih murah dan berbasikal pergi kerja.
Ass. Prof. Feng fasih berbahsa Jerman dan boleh berbahasa Inggeris. Beliau tidak menghadapi maslah komunikasi ditempat kerja dan selalu menjadi tempat rujukan kami kalau terpaksa berkomunikasi dengan petugas Jerman yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Prof. Feng diteman seorang jurutera muda.
Dr. Samir dari dari Mesir agak bergaya. Mungkin perangai orang Arab. Pengiringnya dua orang pegawai wanita. Saya jarang berkomunikasi dengan mereka berbanding rakan dari China dan India. Kedua-dua rakan fellow dari China dan India ini akan datang berjumpa saya apabila mereka hendak ke pekan Karlruhe. Mereka akan minta beli tiket trem dengan saya kerana saya membelinya secara bulk dan menyimpan dengan banyak. Selalunya bila mereka mahu beli, saya bagi percuma. Harga RM1.60 dan boleh digunakan berkali-kali oleh sesiapa saja dalam tempoh 24 jam.
" Orang Malaysia memang kaya" kata Ass. Prof. Feng.
" Mana kamu tahu ?' Balas saya.
"Tengok la, kasut kamu, jaket kamu, cara berbelanja kamu. Bagi kami duit amat berharga. Bagi kamu macam takda nilai"
" He he he ... orang Malaysia bukan kaya tetapi boros" balas saya.
" Berapa gaji kamu Ass. Prof. Feng? sambung saya.
" RM500.00 sebulan"
RM 500.00. Saya macam tak percaya tetapi memang benar. Gaji seorang Ass. Prof. Rm 500.00. Kalau di Malaysia RM6,000.00 dan bila campur elaun itu dan ini boleh cecah RM10,000.00.
Memang patut lah orang Malaysia boros. Buminya mewah dan makmur. Sebab itu lah juga agak saya mendapat bilik sendiri berbanding mereka yang dilonggokkan secara beramai-ramai walaupun dari segi pangkat dan kepakaran mereka jauh lebih tinggi berbanding saya.
Untungnya jadi rakyat Malaysia.
Terserlah lah bahawa imej ekonomi mampu mengaburi taraf ilmiah dalam status sosial sesebuah masyarakat ,bangsa atau negara.

No comments:

Post a Comment