Wednesday, 8 December 2010

KENANGAN ORIENT EXPRESS

Tiba di Namur tepat pada waktunya. Keretapi Orient Express dalam perjalanan ke Prague akan tiba sebentar lagi. Kami bergegas mendapatkan tiket. Rasa lega menyelinap diri. Hembusan nafas terasa lapang dan selesa.
Saya pernah mendengar mengenai keretapi klasik ini. Satu perkhidmatan keretapi merentas benua Eropah yang masyhur. Berpeluang menaikinya adalah sesuatu yang amat menggembirakan hati.
Tidak lama kemudian keretapi dinanti itu pun tiba. Kami bergegas naik. Persepsi saya mengenai nya serta merta berubah. Tiada banyak bezanya dengan KTM di tanah air. Tetapi kemashyurannya merentasi dunia. Tetapi itu bukan lah isunya. Asal selamat sampai di Jerman, saya rasa tiada apa yang melemahkan.
"Kita akan melalui Perancis dan bertukar keretapi di Strassbourg untuk ke Jerman. Saya harap kita dapat mengejar trem terakhir untuk balik ke Eggenstein " kata Jamal.
" Saya harap pun begitu" kata saya sambil menyandarkan kepala pada kusyen dan melelapkan mata.
Keretapi bergerak lancar dan saya terlelap sehingga lah dikejutkan oleh suasana kecoh. Apabila membuka mata, saya dapati tiga orang polis sedang bercakap cakap dengan Jamal dalam bahasa Perancis. Polis tersebut kemudian meminta dokumen pengenalan saya. Mereka bertalu talu menyoal Jamal dan Jamal menjawabnya satu persatu. Setelah berpuashati, mereka pun berlalu.
" Tiada apa. Amalan biasa. Mereka polis Perancis. Kita sekarang telah memasuki sempadan Perancis" kata Jamal.
" Mujor awak boleh berbahasa Perancis ' kata saya.
" Di Eropah , pendatang asing perlu menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa. Jika tidak mereka menghadapi kesukaran dalam urusan harian" kata Jamal yang mahir berbahasa Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman.
" Awak ada kelebihan tersebut" balas saya
" Kerana kelansungan hidup" katanya.
Keretapi terus merayapi landasan. Saya mahu menyambung tidur yang terganggu apabila tiba tiba Jamal terdengar Jamal mengeluh.
" Ah, masalah lagi !"
Saya turut terpandang kepada sekumpulan anggota polis membuat pemeriksaan gelombang kedua. Kali ini bertambah anggota mereka seramai tujuh orang diketuai seorang perempuan. Apabila tiba ditempat kami, mereka membuat pemeriksaan rapi. Lebih tegas dan sombong berbanding anggota sebelum ini. Mereka menyelongkar semua bag, walet, poket dan semua dokumen yang ada serta menyoal Jamal semahu mahu. Setelah hampir sejam baru mereka berpuas hati dan berlalu . Sebaik mereka pergi, semua penumpang memandang kami berdua seolah olah kami ini orang buruan. Ada yang datang bertanya dan Jamal melayan semuanya. Saya hanya berdiam diri kerana mereka bertutur dalam bahasa Perancis.
Tidak lama selepas itu keretapi tiba di stesen Strassbourg, sebuah bandar sempadan dan persimpangan landasan. Kami perlu turun dan mengambil keretapi lain untuk ke Jerman. Di papan notis, keretapi ke Jerman akan tiba sejam lagi. Jamal mengajak saya berjalan jalan sekitar bandar tersebut. Memikirkan masa yang ada agak panjang, saya bersetuju. Tetapi baru beberapa langkah berjalan Jamal mengajak saya kembali dan tunggu di stesen. Menurutnya dia tidak mahu timbul masalah kerana kemana saja kami pergi, kami menjadi tumpuan pandangan sinis umum. Saya jugak dapat merasakannya.
Di stesen kami hanya duduk menunggu sehingga keretapi tiba dan kami terus bergegas mendapatkannya.
Jiwa saya tetap tidak tenteram. Rasa mengantuk terbang menyelinap bersama deru enjin keretapi membelah landasan. Dalam hati saya berdoa biarlah perjalanan ini tiada halangan lagi sehingga tiba di Jerman.

No comments:

Post a Comment