Wednesday, 8 December 2010

KENANGAN ORIENT EXPRESS

Tiba di Namur tepat pada waktunya. Keretapi Orient Express dalam perjalanan ke Prague akan tiba sebentar lagi. Kami bergegas mendapatkan tiket. Rasa lega menyelinap diri. Hembusan nafas terasa lapang dan selesa.
Saya pernah mendengar mengenai keretapi klasik ini. Satu perkhidmatan keretapi merentas benua Eropah yang masyhur. Berpeluang menaikinya adalah sesuatu yang amat menggembirakan hati.
Tidak lama kemudian keretapi dinanti itu pun tiba. Kami bergegas naik. Persepsi saya mengenai nya serta merta berubah. Tiada banyak bezanya dengan KTM di tanah air. Tetapi kemashyurannya merentasi dunia. Tetapi itu bukan lah isunya. Asal selamat sampai di Jerman, saya rasa tiada apa yang melemahkan.
"Kita akan melalui Perancis dan bertukar keretapi di Strassbourg untuk ke Jerman. Saya harap kita dapat mengejar trem terakhir untuk balik ke Eggenstein " kata Jamal.
" Saya harap pun begitu" kata saya sambil menyandarkan kepala pada kusyen dan melelapkan mata.
Keretapi bergerak lancar dan saya terlelap sehingga lah dikejutkan oleh suasana kecoh. Apabila membuka mata, saya dapati tiga orang polis sedang bercakap cakap dengan Jamal dalam bahasa Perancis. Polis tersebut kemudian meminta dokumen pengenalan saya. Mereka bertalu talu menyoal Jamal dan Jamal menjawabnya satu persatu. Setelah berpuashati, mereka pun berlalu.
" Tiada apa. Amalan biasa. Mereka polis Perancis. Kita sekarang telah memasuki sempadan Perancis" kata Jamal.
" Mujor awak boleh berbahasa Perancis ' kata saya.
" Di Eropah , pendatang asing perlu menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa. Jika tidak mereka menghadapi kesukaran dalam urusan harian" kata Jamal yang mahir berbahasa Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman.
" Awak ada kelebihan tersebut" balas saya
" Kerana kelansungan hidup" katanya.
Keretapi terus merayapi landasan. Saya mahu menyambung tidur yang terganggu apabila tiba tiba Jamal terdengar Jamal mengeluh.
" Ah, masalah lagi !"
Saya turut terpandang kepada sekumpulan anggota polis membuat pemeriksaan gelombang kedua. Kali ini bertambah anggota mereka seramai tujuh orang diketuai seorang perempuan. Apabila tiba ditempat kami, mereka membuat pemeriksaan rapi. Lebih tegas dan sombong berbanding anggota sebelum ini. Mereka menyelongkar semua bag, walet, poket dan semua dokumen yang ada serta menyoal Jamal semahu mahu. Setelah hampir sejam baru mereka berpuas hati dan berlalu . Sebaik mereka pergi, semua penumpang memandang kami berdua seolah olah kami ini orang buruan. Ada yang datang bertanya dan Jamal melayan semuanya. Saya hanya berdiam diri kerana mereka bertutur dalam bahasa Perancis.
Tidak lama selepas itu keretapi tiba di stesen Strassbourg, sebuah bandar sempadan dan persimpangan landasan. Kami perlu turun dan mengambil keretapi lain untuk ke Jerman. Di papan notis, keretapi ke Jerman akan tiba sejam lagi. Jamal mengajak saya berjalan jalan sekitar bandar tersebut. Memikirkan masa yang ada agak panjang, saya bersetuju. Tetapi baru beberapa langkah berjalan Jamal mengajak saya kembali dan tunggu di stesen. Menurutnya dia tidak mahu timbul masalah kerana kemana saja kami pergi, kami menjadi tumpuan pandangan sinis umum. Saya jugak dapat merasakannya.
Di stesen kami hanya duduk menunggu sehingga keretapi tiba dan kami terus bergegas mendapatkannya.
Jiwa saya tetap tidak tenteram. Rasa mengantuk terbang menyelinap bersama deru enjin keretapi membelah landasan. Dalam hati saya berdoa biarlah perjalanan ini tiada halangan lagi sehingga tiba di Jerman.

Tuesday, 16 November 2010

MENJADI ORANG ASING

Saat berganti minit. Minit bertukar jam. Hari telah menjelang senja. Restoran itu telah berkemas untuk menutup perniagaan harian mereka. Saya masih menunggu kemunculan Jamal yang pergi mendapatkan bantuan sejak awal pagi tadi. Sebuah penantian yang nampak seperti tiada penghujungnya.
Rasa gelisah menyelinap diri. Tiba tiba saja saya merasa gementar. Menunggu lebih lama bermakna mengambil risiko lebih tinggi. Saya pergi bertanya kepada pemilik restoran tetapi malangnya dia tidak boleh bertutur bahasa Inggeris. Saya mendekati beberapa pelanggan terakhir yang ada dan akhirnya bertemu seorang anak gadis.
" Ya, apa boleh saya bantu?"
" Dimana boleh saya dapatkan stesen keretapi untuk ke Jerman? tanya saya.
" Oh ..di bandar Namur tidak jauh dari sini. Tetapi tiada bas atau kenderaan awam kesana. Awak terpaksa menumpang sesiapa yang baik hati mahu menumpangkan awak. Awak tahan saja kereta di jalan sana dan minta bantuan.." kata nya.
" Terima Kasih"
Saya bergegas keluar dan menuju ke pinggir jalan. Senjakala mula melabuhkan tirainya. Saya menahan kereta demi kereta. Namun tiada satu pun yang mahu berhenti. Mereka sekadar memperlahan, melihat dan menggelengkan kepala. Kecewa dengan keadaan itu saya berjalan ke stesen minyak mini beberapa meter dari depan restoran itu. Di stesen minyak saya bertanya semua kenderaan yang mengisi minyak adakah mereka hendak ke Namur, tetapi tidak satu pun yang berkata ya. Saya mula merasa betapa terasing menjadi perantau.
Saya tiada pilihan lagi. Satu satunya harapan saya untuk berlindung malam itu ialah dalam kereta opel yang tersadai itu. Dengan lemah saya mangatur langkah menuju bengkel tersebut dan membayangkan malam ngeri tidur dalam kereta di bengkel pada musim sejuk di mana suhunya mencecah 0 darjah celcius.
Tatkala ketakutan memuncak dan kegelisahan melewati batasan, saya terdengar deruman kereta menghala ke bengkel. Sebuah kereta Audi A4 meluru dengan laju dan berhenti tidak jauh dari saya. Dalam kesamaran seorang lelaki keluar dan memanggil nama saya.
" Oh ..Syukur Syukur.anda masih disini..saya sangat bimbang dengan awak.. kata Jamal sambil memeluk saya.
" Saya ingatkan awak sudah tinggalkan saya"
Oh..tidak saudaraku Ahmad. Saya terpaksa pergi ke Brussel meminta bantuan abang ipar saya kerana syarikat kereta sewa di sini tidak mahu membantu orang Arab. Ayuh kita ke Namur . Dari sana kita ambil keretapi ke Jerman" katanya samabil membuka pintu kereta. Abang ipar Jamal melemparkan sebuah senyuman kemudian memecut Audi A4 bagaikan pelumba rally menuju Namur.

Wednesday, 22 September 2010

BREAKDOWN DI HIGHWAY


Seperti dijanji, saya bertemu semula dengan Jamal lewat petang itu. Sesudah bersalaman dengan Rusli dan keretapi ke Gent bergerak, saya dengan Jamal memulakan perjalanan untuk balik ke Jerman. Keluar dari bandaraya Brussel, kami singgah sebentar mengisi minyak dan minum kopi di hentian rehat tepi lebuhraya di pinggir bandar. Selepas maghrib kami sudah berada di atas lebuhraya utama E411 menghala Luxembourgh.
Jamal memecut kereta opel itu sehabis kederat. Kami mahu sampai di Jerman sebelum lewat pagi kerana besok hari Isnin dan kami bekerja. Sambil itu Jamal tidak habis habis bercerita. Saya hanya mendengar kerana hati tidak berapa tenteram duduk di kerusi sebelah pemandu dalam kereta yang di pandu laju.
Dua jam perjalanan tiba tiba saja kelajuan menjadi perlahan mendadak dan terus terhenti. Jamal memaut stering ke tepi lorong dan ternyata enjin kereta senyap sepi. Jamal cuba memutar kekunci tetapi senyap. Ada sesuatu yang tidak kena. Kami keluar memeriksa. Sebaik bonet dibuka asap berkelun menerjah udara.
Belum sempat kami memeriksa lebih lanjut, sebuah kereta berhenti di belakang dengan lampu siren terpasang. Dua lelaki berunform menghampiri dan bertanya
" Apa yang berlaku? Ada masalah ?"
" Ya, kereta ini tiba tiba mati sedang kami dalam perjalanan" jawab Jamal.
" Biar kami periksa. Kalau boleh di bantu"
" Silakan. Terima Kasih"
Mereka memeriksa dan mencuba beberapa komponen asas kemudian menemui jawapan.
" Blok enjin kereta ini sudah pecah. Ia perlu di tukar. Anda berdua hendak kemana?.
" Oh..Tuhan. Kami hendak balik ke Jerman!" kata Jamal.
" Pilihan yaang kamu ada ialah tunda kereta ini ke pekan terdekat dan bermalam di sana. Masih awal lagi. Harap ada bengkel dan hotel untuk anda"kata peronda lebuhraya itu sambil menghubungi kereta tunda.
" Dalam lima belas minit lagi kereta tunda akan sampai dan membawa kamu ke pekan Spontin tidak jauh dari sini. Harap kamu bernasib baik" kata peronda itu sambil beredar kekereta mereka dan memasang isyarat kecemasan.
Saya mengajak Jamal masuk kedalam kereta. Ketika itu sekitar pukul sembilan malam. Cuaca musim sejuk menggigit gigit. Saya mula risau kerana dalam cuaca begini boleh kah bertahan duduk dalam kereta sehingga pagi.
"Jangan risau Ahmad. Saya ahli ADAC. Saya layak mendapat bantuan kecemasan begini untuk dua orang menginap di hotel percuma semalam dan boleh mendapatkan kereta sewa untuk balik ke Jerman jika terkandas di mana mana dalam negara EU ini. Cuma kita lewat satu hari dan kena ponteng hari Isnin."
"Bagaimana kalau hotel penuh ? tanya saya.
" Itu masalah. Harap harap tidak" kata Jamal menyedap hati sendiri.
Lebih kurang lima belas minit, sebuah kereta penunda tiba dan kereta kami di tunda ke sebuah bengkel yang juga penjual kereta di Pekan Spontin, Belgium.. Sementara Jamal berurusan dengan pemilik bengkel, saya melihat lihat bilik pameran di mana terdapat kereta Proton Wira Aeroback dipamerkan. Versi Eropah di kenal dengan Proton 130, 160, 180. Saya melihat tag harga dipamer. Hanya RM38,000.00. Harga yang kompetitif dengan kemasan yang lebih teliti berbanding model tempatan. Sesuai untuk spesifikasi orang Eropah.
" OK Ahmad. Kita pergi cari hotel. "
Kami beredar ke satu satunya hotel di pekan kecil itu. Dan sekali lagi nasib menyebelahi kami. Masih ada bilik kosong dan dengan kad keahlian ADAC Jamal, kami boleh menginap di situ percuma selama semalam untuk dua orang termasuk makan dan sarapan.
" Besok saya akan pergi cari kereta sewa. Awak tunggu di sini sehingga saya datang. InsyaAllah lewat petang kita akan tiba di Jerman" Jamal membuat perancangan.
" OK. Ikut pandai awak. Saya mengikut saja."


Monday, 5 July 2010

PART 15: DI KOTARAYA BRUSSEL

Bersama Rusli melawat Taman Mini Eropah Bersatu terletak di Brussel, ibu negara Belgium dan ibu negara EU.
Malam itu saya tumpang tidur di rumah kakak Jamal.

Rumah mereka adalah sebuah flat di satu kawasan penempatan orang orang Arab di pinggir bandaraya ini tidak jauh dari pasar besar. Saya perhatikan persekitaran penempatan ini agak terbiar. Kemudahan asasnya seperti bekalan air dan letrik sangat teruk. Mereka hidup dalam suasana survival. Saya tidak berpeluang lansung berkenalan dengan keluarga Kakak Jamal. Barangkali itu budaya orang Arab. Bangun pagi, saya kemaskan barang dan terus turun bersama Jamal. Kami merayau sekitar pasar. Banyak terdapat beraneka jenis buah buahan segar dengan harga murah. Selepas penat berjalan, Jamal mengajak saya pergi ke sebuah kedai makan di bawah bangunan flat itu. Kami duduk disebuah meja yang sedia menanti seorang lelaki Arab. Jamal memperkenalkan saya. Lelaki itu abang iparnya. Abang ipar Jamal tidak boleh berbaasa Inggeris dan Jamal menjadi penterjemah. Kami pesan minuman teh dan roti Arab. Teh Arab memang segar. Dihidangkan dengan segelas air panas dan tiga helai daun teh. Direndam sehingga daun itu layu dan air bertukar menjadi warna hijau. Rasanya sungguh segar.
Tidak lama kemudian datang seorang lagi lelaki Arab. Lelaki itu bercakap sesuatu dengan abang ipar Jamal dan mereka berjalan ke sebuah kereta Mercedes 190E parkir di tepi kedai itu. Mereka berbincang sambil membelek belek kereta tersebut. Selepas itu saya lihat lelaki itu mengeluarkan sejumlah wang, mengira dan menghulurkan kepada abang ipar Jamal. Abang ipar Jamal menyerahkan kunci. Rupa rupanya abang ipar Jamal seorang peniaga kereta terpakai di Brusell dan urusniaga dijalankan macam kita jual beli basikal saja di Malaysia. Kereta itu dijual dengan harga RM12,000.00. Sungguh mudah.
Selepas sarapan, Jamal membuat keputusan menghantar saya ke Gent dengan kereta. Kami melalui perkampungan yang lapang dan cantik. Tidak lama selepas itu kami tiba di Pekan Gent. Saya terus hubungi Rusli, kawan saya yang sedang menghabiskan pengajian Phdnya di Universiti Gent. Rusli datang menjemput saya dan kami pergi ke bilik sewanya ditingkat atas sebuah kedai ditengah tengah pekan Gent. Jamal balik ke Brussell dan kami akan jumpa kembali petang esok di Brusell untuk balik ke Jerman.
Rusli seorang yang rajin dan pandai masak. Dia menyambut kedatangan saya dengan memasak kari ayam.
" Hang tau, aku terpaksa pi sejauh 3 kilometer cari ayam sembeleh nak bagi hang makan..kesian pulak aku nak bagi ayam katok yang banyak kat tepi kedai tu.. ha ha ha" Rusli memang suka menyakat dan berjenaka.

Menurut Rusli , tidak ramai pelajar Malaysia menuntut di negara Eropah selain Britain. Di Gent hanya dia seorang sahaja dari Malaysia dan dia adalah presiden persatuan pelajar pelajar antara bangsa Universiy Gent.
" Hang patut duduk sini seminggu. Boleh aku bawak jalan merata tempat. Sat hari tak dan nak pi mana".
" Takpa lah..aku mana ada cuti..dapat mai jumpa hang disini pun sudah kira sangat OK"
" Esok kita naik bullet train ke Brusell lepas tu melawat Taman Mini Eropah. Itu saja yang kita sempat sebelum hang jumpa budak Arab tu".
" Apa istimewa Taman Mini Eropah tu?" tanya saya.

" Hang tengok sendiri la esok"..

Besoknya kami ke Brussel dan melawat Taman Mini Eropah. Sebuah taman teknologi menggambarkan sebuah benua Eropah. Seperti taman budaya Melaka. Setiap anggota negara EU mempunyai trade mark masing di taman tersebut. Misalnya di "negara Perancis" siap terdapat lnadasan dengan jet Concorde sedang merayap dan juga bangunan Eifel Towernya.
Ada keretapi Orient Exoress sedang berlegar merentasi benua model itu.
Ia satu pengalaman menakjubkan, informatif dan melekat di memori.

Wednesday, 16 June 2010

PART 14 - TRIP KE BELGIUM

Luxembourg boarder town.


Seperti yang dijanjikan, apabila siap dibaiki, Jamal membawa kereta Opel itu menemui saya. Cukup bagus bagi sebuah kereta bernilai RM2,500.00. Kalau di pasaran Malaysia saya anggarkan dalam lingkungan RM15,000.00. Kami mencubaguna kereta tersebut. Ok.
Hujung minggu berikutnya, selepas waktu pejabat Jamal datang menjemput saya.
" Kita ambil jalan pintas. Ini petanya. Awak jadi juruarah. Saya memandu. Saya tidak pernah guna jalan ini sebab selalu saya pergi seorang diri. Kalau berdua bersemangat sikit menggunakan jalan asing" katanya.
" Tidak kisah. Bagi saya semuanya asing disini".balas saya.
" Bagus. Kita akan lalui bandar SaarBruckeen dalam wilayah SaarLand kemudian memintas sempadan Luxembourg mengambil lebuhraya 1 sebelum memasuki Belgium. Saya harap kita dapat sampai di Brussel sebelum pukul 12.00 malam untuk mengejar keretapi terakhir kamu ke Gent" katanya.
" OK" balas saya.
Cuaca musim sejuk sungguh dingin. Waktu senja seawal jam 4.30 petang. Tempoh siangnya lebih panjang dan matahari hanya kelihatan melengkong di langit selatan.
Jamal memandu agak loghat. Barangkali gaya memandu orang Arab. Adakalanya kecut perut saya dibuatnya. Kami melalui jalan-jalan biasa kawasan urban, suburban dan luar bandar. Kira -kira jam 8.00 malam, kami menghampiri sebuah jambatan dan melintas sebatang sungai. Selepas sungai tersebut ada sebuah pekan kecil. Jamal membelok memberhentikan kereta di tepi stesen petrol.
" Selamat datang ke Luxembourg " Katanya
" Kini kita berada dalam negara Luxembourg. Negara anggota EU terkecil tetapi paling kaya" katanya.
" Oh.."
" Sungai tadi sempadan dengan Jerman. Mari kita tukar matawang di stesen minyak dulu, selepas tu kita minum kopi sebelum menyambung perjalanan. Tidak lama lagi bila matawang Euro di perkenalkan, kita tidak payah tukar menukar lagi ".
Selepas minum secawan Cuppocino pekat hitam, kami meneruskan perjalanan mengambil lebuhraya utama negara EU. Masuk sahaja lebuhraya, saya dapati trafik lenggang. Tidak adakah kenderaan melaluinya sedangkan malam masih muda.
Jamal mula menekan pedal minyak. Meter di papanmuka menunjukan angka 140/50/ 60/ 70 kmj. Saya rasa gelabah.
" Laju nya awak memandu Jamal"
" Ini kelajuan biasa Ahmad. Lebuhraya ini kita tidak boleh kurang dari 110kmj" katanya.
Seketika berbual saya dapati beberapa kereta memintas kami dengan mudah pada kelajuan 170km. Melecup lecup perginya..Dalam hati saya berkata, patut lah lebuhraya ini sunyi kerana kelajuan kenderaan tidak sempat menyesakkan aliran trafik. Selain daripada itu sepanjang panjang lebuhraya enam lorong itu terpasang lampu lampu jalan terang benderang.
" Oh begitu..tidak ada bayaran tol kah ?" tanya saya.
" Tol? Ha ha ha..di sini tiada tol Ahmad"..
Lebuhraya enam lorong di hiasi lampu sepanjang laluan dengan permukaan rata tidak beralun, lengkap dengan tanda arah, tiada amaran perangkap laju dan paling penting tidak ada tol, oh..betapa imej sebuah negara maju..
Menjelang tangah malam kami memasuki bandaraya Brusell, ibu negara Belgium yang juga pusat pentadbiran EU. Jamal berkejar kestesen keratapi. Malangnya keretapi terakhir telah berlepas. Kami berkejar kestesen teksi. Jamal cuba berunding dengn pemandu teksi yang juga berbangsa Arab. Macam hendak bergaduh. Akhirnya kelihatan Jamal kecewa.
"Kenapa? tanya saya.
" Perjalanan ke Gent 60 km sahaja. dia mahu RM200.00. Katanya caj tengah malam. Ini cekek darah" gertu Jamal.
"Habis bagaimana? tanya saya.
" Saya tidak akan biarkan awak seorang. Kita pergi rumah kakak saya dulu. Kalau terpaksa, saya akan hantar kamu ke Gent walaupun sudah jam satu sekarang".
" OK. Ikut pandai awak. Saya mengikut saja".
Kami meredah awal pagi di bandaraya Brussel menuju rumah kakak Jamal yang terletak di kawasan penempatan orang orang Arab di pinggir bandaraya itu.

Saturday, 8 May 2010

PART 13 - SALJI DAN KENALAN BARU

Pada suatu petang, tidak semena mena saya terpandang sesuatu di luar tingkap pejabat. Berapongan macam kekabu ditiup angin pada musim timur di Kedah. Saya segera membuka tingkap. Hati saya menjerit girang.
Dengan segera saya berlari turun dan keluar ke laman. Mendongak kelangit dan menadah kedua-dua tangan. Membiarkan apongan itu mendarat . Dalam sekelip mata sahaja tangan , kepala, muka dan badan saya memutih olehnya. Saya membalingnya. Kemudiaan menadah lagi. Berulang-ulang....
" Hei.. apa hal ni..." teriak Peter merabut keghairahan saya. Saya menoleh kepadanya. Sengih kemudian menyambung kelakuan saya.
" Apa kamu tak pernah jumpa salji ka? Memang kampung betul lah kamu ni!!..
Saya ketawa.
" Kat negeri aku mana ada menatang ni..hujan banyak la. Sepanjang tahun..Maaf Peter..ini kali pertama aku tengok dan dapat rasa salji secara hadir.."
" Patut lah.. Main lah puas-puas " gertu Peter dan berlalu pergi.
Musim sejuk telah bermula.
Di hentian bas hari itu, saya terlepas menaiki bas terakhir. Saya segera bergegas ke stesen pengangkutan persendirian berhampiran pintu utama. Perkhidmatan ini menggunakan sebuah van 12 penumpang dan tidak mengira waktu. Sentiasa ada setiap lima belas minit. Setiba di stesen, terdapat sebuah van sedang menanti. Saya terus menaikinya. Van masih kosong dan pemandu masih menanti penumpang.
Tidak lama selepas itu datang seorang pemuda. Dari jauh dia memandang kearah saya. Setiba berhampiran dia terus mengucapkan salam. Saya tersentak sambil menjawab salamnya dan menyambut tangannya.
" Syukur.. syukur.. hari ini saya dapat berjumpa saudara Muslim di sini." katanya sambil menggenggam erat salam saya.
" Nama saya Jamal El Bolusi " dia memperkenalkan diri.
" Nama saya Ahmad Saman" balas saya.
" Oh.. saudaraku Ahmad. Tak sangka jumpa saudara se agama ku di tempat seperti ini" Jamal terus merangkul saya seperti mana kebiasaan orang Arab menemui rakan-rakan mereka.
" Selamat berkenalan" katanya "
" Selamat berkenalan" balas saya.
" Sangat sukar menemui orang Islam di institut ini" sambungnya lagi.
" Bagaimana anda mengenali saya seorang Muslimm ?" tanya saya.
" Kopiah yang anda pakai, janggut dan jambang. Itu wajah tipikal seorang Muslim".
Saya ketawa. Benar. Dalam suasana dimana sukar untuk mengenali sesama sendiri, wajar ada jati diri supaya mudah di kenali. Ini pun dikira syiar.
Kami berbual panjang. Jamal sedang menjalani latihan amali di unit kejuruteraan komputer institut itu. Dia seorang Arab berasal dari Algeria tetapi telah mendapat status pemastautin tetap di Jerman. Bapanya berhijrah ke sana dan bekerja sebagai pemandu lori. Dia tinggal di sebuah rumah sewa di sebuah kampung tidak jauh dengan kampung tempat saya tinggal. Kami menggunakan jalan yang sama.
" Saya baru beli sebuah kereta Opel. Sedang dibaiki di bengkel. Bila siap, saya bercadang hendak ziarah kakak saya di Brussel. Saya sendirian. Jika anda ingin ikut, saya sangat gembira"
" Tentu sekali. Saya ada kawan sedang belajar di Universiti Gent. Boleh sekali melawat kawan saya itu"
" Oh ya.. tentu sekali. Gent dengan Brussel tidak jauh. Lebih kurang 60 KM sahaja.
" Jadi ! bila kita akan kesana?"
" Bila kereta saya siap, saya akan beritahu awak. Kita pergi hujung minggu".
Van tiba di hentian kampung tempat tinggal saya - Eggenstein Leopalshafen. Saya bersalaman dengan Jamal dan dalam hati saya sangat gembira untuk merebut peluang menjelajah sebahagian benua Eropah itu.

Tuesday, 13 April 2010

Part 12 - SEBUAH DUGAAN

Suatu hari pintu pejabat saya di ketuk sopan. Selalu kalau rakan rakan Jerman boleh dikenal nada ketukan itu atau boleh didengar bunyi tapak kasut mereka melangkah - seperti langkah kuda Arab.
Saya membiarkan beberapa ketika dan ketukan berulang. Kali ini saya mengiyakan sambil memerhati ke daun pintu. Siapa gerangan empunya diri.
Sebaik daun pintu terkuak, tersembul sebuah wajah. Seorang perempuan Melayu sambil mengukir senyuman manis.
" Selamat sore pak! Boleh saya masuk? katanya dengan lembut.
" Oh, silakan..Kata saya. Rupanya seorang perempuan Indonesia.
Dia duduk dikerusi tamu di hadapan meja saya. Sopan santu oraqng Timur masih ada. Kalau orang Jerman, tak ada mereka hendak berlemah lembut, hatta perempuan sekalipun.
" Sudah lama saya mendengar tentang bapak disini, tetapi ngak ada kesempatan berkunjung " katanya memulakan perbualan.
" Oo begitu. Terima kasih datang mencari saya. Sudah lama saya tidak bercakap Melayu." kata saya.
Kami berkenalan dan berbual panjang. Namanya kalau tidak silap Kartini. Dia meninggalkan Indonesia ketika berumur 7 tahun dan berhijrah ke Belanda. Membesar dan belajar disana sehingga berkenalan dan berkahwin dengan seornng rakyat Jerman. Suaminya seorang profesor di Universiti Munich dan mereka ada dua orang anak. Seorng lelaki bekerja di Berlin dan seorang lagi perempuan menetap di Itali. Dia sendiri bekerja di unit komputer di institut itu. Dia tinggal di sebuah rumah mewah di Black Forest dan suaminya tinggal di Munich.
" Sudah kemana berjalan sejak berada di sini ? tanyaa beliau.
" Belum kemana-mana. Cadanga hendak merayau Eropah" balas saya.
" Kalau bapa setuju, bulan depan saya hendak ke Italy, melawat anak perempuan saya bersalin. Bapa boleh ikut saya. Kita berkereta kesana" pelawanya. Bagus juga. Tapi risau jugak hati saya.
" saya akan fikirkan. Kalau tiada kerja terdesak, mungkin bisa" balas saya.
Dia mengeluarkan kad nama dan menghulurkan kepada saya.
" Nanti kontek saya. Ataupun datang saja ke departmen komputer. Saya ada disana " katanya sambil berlalu pergi.
Saya berfikir panjang. Memang saya hendak pergi Italy tetapi tiada sapa sapa kawan saya di sana. Ini peluang terbaik. Tetapi masalahnya dia seorang perempuan. Ibu dan isteri orang pulak. Sistem sosial di Jerman tiada halangan. Tetapi sistem sosial Islam sangat melarang.
Memang betul. Hidup di Barat, dugaan berat dan hebat. Akhirnya saya menolak pelawaan perempuan itu hendak ke Itali walaupun memang saya ingin kesana.

Sunday, 17 January 2010

Part 11 - Kota Heidelberg

Pada suatu hujung minggu saya pergi ke bandar Heidelberg. Bandar ini terletak di lembah antara dua buah bukit. Mengalir ditengahnya sebatang sungai yang amat jernih airnya. Kelihatan anak-anak ikan berkejaran seperti kita melihat sungai-sungai pendalaman di negara kita. Bezanya, sungai ini merentas sebuah bandar kosmopolitan dan kawasan perumahan padat sebuah kota seperti KL tetapi kebersehan airnya amat menakjubkan.
Bandar Heidelberg sepeti Bandarya Melaka. Ia sebuah kota sejarah, peninggalan kesan pemerintahan sistem beraja Jerman yang telah berkubur. Kota lama ini terletak di atas bukit sebagaimana kedudukan kota-kota kerajaan lama. Heidelberg juga dikatakan bandar terindah di Jerman. Memang benar. Ketika mengunjungi nya, ia dalam permulaan musim luruh. Kehijauan daun bertukar merah. Sebahagian pokok pulak telah gondol. Kombinasi ini melahirkan suatu lanskap sungguh menarik.
Ketika merayau dalam bandar saya terjumpa sebuah kedai menjual pisau Rambo. Terdapat berbagai jenis pisau yang amat menarik. Memang saya sedang mencari jenis pisau ini yang amat berguna dalam aktiviti berkhemah dan mendaki gunung. Malangnya kedai tersebut tutup sekejap untuk makan tengahari. Saya hanya meleleh air liur mengintai dari cermin pameran. Lama juga saya menunggu, tetapi tuan punya kedai tidak muncul-muncul. Akhirnya saya mengalah. Mungkin saya boleh datang pada waktu lain. Saya pun berlalu.
Di tengah-tengah bandar Heidelberg terdapat sebuah universiti terkemuka iaitu Universiti Heidelberg. Universiti ni amat terkenal dengan kursus teknikal bidang percetakan. Barangkali seperti Oxford dalam bidang sains politik dan commerce atau MIT dalam bidang kejuruteraan. Sebab itu kita dapati mesin percetakan lama di negara kita dari buatan Jerman yang masyhur berjenama Heidelberg.
Sayangnya amat kurang pelajar kita menuntut disana. Rakyat kita lebih suka ke England dan Amerika berbanding Jerman. Teknologi dan kepakaran Jerman dalam bidang teknikal berkualiti amat tinggi. Mungkin kerana faktor bahasa. Orang Jerman mempunyai jatidiri sangat tinggi sehingga tiada toleransi dalam bahasa. Sesiapa hendak belajar disana, wajib faseh berbahasa Jerman. Peluang ini biasanya direbut oleh rakyat Algeria dan sebahagian kecil orang Indonesia.

Tuesday, 5 January 2010

part 10 - Made in Sri Lanka

Sepanjang tinggal dengan keluarga Maucher, pakaian saya di basuh oleh Pn. Miriam. Saya hanya perlu kumpulkan pakaian kotor dalam bakul tersedia sebelum pergi kerja. Bila balik pada waktu petang, saya dapati semua pakaian telah dicuci siap dengan sterika sekali.
Pada mula-mula dulu, Pn Miriam mencuci semua pakaian saya tanpa tinggal sehelai pun. Tetapi dia tinggalkan sehelai kemeja kapas warna putih saya tidak di sterika. Saya sangkakan ia terlupa atau tercicir. Saya bukanlah peduli sangat. Saya pakaikan juga kemeja kedut-kedut itu. Lagipun ada coat di luar. Kedut-kedut itu dapat disorok.
Pada kali kedua, Pn. Puan Miriam tinggalkan kemeja putih tersebut tidak berbasuh. Dia keluarkan dari bakul dan letak atas tilam. Pun saya tidak peduli. Saya masih fikirkan ia tercicir lagi. Saya basuh sendiri kemeja tersebut dan saya pakai seperti biasa.
Pada kali ketiga, saya dapati Pn. Miriam keluarkan juga kemeja tersebut dari bakul dan letak atas katil. Saya mula berfikir. Tidak mungkin tercicir lagi. Perkara sama berlaku berulangkali bermakna bukan kesilapan lagi. Ia disengajakan. Tetapi mengapa. Apa sebabnya kemeja sehelai itu enggan dibasuh oleh Pn. Miriam. Persoalan ini bermain difikiran saya.
Pada hari minggu berikutnya saya berkesempatan bertemu Maucher. Saya lantas bertanya.
" Maucher, sudah dua tiga kali isteri anda tertinggal membasuh sehelai kemeja saya"
Maucher tersenyum dan menjawab
" Oh, tidak Mr. Saman. Dia memang tidak membasuhnya kerana baju tersebut buatan Sri Lanka! '
" Ooo.. apa kaitan dengan baju buatan Sri Lanka dengan anda?
" Kami di Eropah memulaukan produk teksil dari India dan Sri Lanka kerana negara-negara tersebut menggunakan buruh kanak-kanak untuk menghasilkan produk tektil. Itu sebagai tanda kami mengambil bahagian dalam kempen penentangan ini.
Saya terkedu lagi. Penyatuan orang-orang Eropah sangat kuat dan intim. Bukan setakat kerjasama keselamatan yang di terjemahkan melalui NATO atau ekonomi dari segi nilai matawang Euro, bahkan sehingga hal paling remeh dan kecil seperti tidak membasuh sehelai baju kemeja tetamu mereka semata-mata kerana kemeja tersebut ada terulis disana " Made in Sri Lanka".