Wednesday, 27 May 2009

Monolog Kasih


1

Masa berlalu pantas zaman turut berubah.
Dua puluh lapan tahun seolah sedetik. Semua masih segar dalam ingatan. Kamu bersimpuh diatas hamparan rumput hijau. Saya bersila di sisi kamu. Pohon rhu rendang memayungi kita. Dari atas puncak bukit ilmu di bandar perindustrian itu , kita melontar pandangan ke arah bandar pelabuhan utama hala kebarat , mengkagumi bebola matahari yang terapung kemerahan di antara celah-celah bangunan di kala berakhirnya suatu siang.
- Azim, adakalanya hidup ini menjadi terlalu sukar….
Kamu merenung jauh ke arah bandar pelabuhan. Angin petang mengusap-ngusap rambut kamu yang panjang lurus. Terjurai menari-nari seperti ekor wau dihembus bayu pada musim kering. Ada petanda mencarikkan suka.
- Saat paling sukar ialah ketika membuat keputusan kemudian menerima keputusan itu….
Bicara kamu tergantung. Tali temali kebingungan menggayuti rasa menghening suasana. Meruntun resah mencambah lelah. Hati saya menjadi gelabah. Kelihatannya sukar sekali.
- Keputusan apa Eidil ?
Desir angin beralun-alun dikejauhan telinga, berdetup detap berlanggaran dengan debaran jantung.
- Saya tidak boleh memiliki hati dua lelaki dalam satu masa selamanya…..
- Maksud kamu?
- Maafkan saya Azim . Dia mendahului kamu mengetuk hati saya…
- Eidil!
- Telah lama saya fikirkan. Sampai ketikanya, kita mesti memilih jalan masing-masing….
Ia satu keputusan sangat tepat . Satu tindakan paling bijak. Tetapi kata-kata kamu itu adalah rentetan peluru rifel menaburi sasaran. Adalah dentuman halilintar melebur awan. Adalah ledakan bom mencecah sasaran. Membalun deru angin. Merentap irama desir daun rhu. Segar rumput hijau sertamerta menjadi garing. Lantas meranapkan mahligai idaman yang saya bina di taman hati. Hancur luluh permata sakti yang saya tatahkan di menara jantung. Seperti kota pasir yang kita bina di tepian pantai. Lalu ombak datang menamparnya berkecai. Tanpa belas tiada juga kasihan. Sekelip mata!. Sungguh mudah petaka bertamu . Sungguh mudah Eidil ! Sungguh mudah !. Tanpa pernah diduga.
Diluar segala kemampuan , saya tidak dapat menerima kata-kata itu dari gadis seperti kamu. Tidak mungkin. Gadis berseh dan luhur. Kalau lah Nune atau Bone , bahkan Sieti atau Kak Ngah sekalipun yang membawa kabar, pasti saya menuduh mereka pembelot paling celaka. Namun itulah hakikatnya, diluar kepercayaan saya, sebenarnya itulah tutur kata kamu. Eidil, bertarung menagih kasih meraih cinta bukanlah pilihan saya. Berbeza jika mempertahankannya. Lalu saya menjadi lelaki yang tewas. Saya pun tersandar.
- Maafkan saya atas semua ini. Saya tidak berniat mengecewakan kamu.. Katakanlah Azim. Kita tetap sahabat karib. Saya akan tetap mengenangi kamu…
- Kesalahan memang patut dimaafkan Eidil. Kesilapan wajar menjadi teladan. Apa pun, saya pasrah. Tetapi, mengapa mesti begini Eidel? Mengapa tidak disiram api semasa kecilnya? Mengapa tidak disarung pisau sebelum ia melukai , Eidel? Mengapa mesti ditanak nasi sedang kamu tahu ia kelak akan menjadi bubur? Mengapa Eidil?.
Genangan air jerneh di kelopak bundar mata kamu terbarai mengaliri pipi mongel. Berjujuran seperti aliran anak sungai yang pernah kita lihat di Taman Rimba Templer. Menitis melencuni kertas-kertas nota kuliah kamu di atas riba. Kamu begitu sedih. Saya tidak pasti untuk apa kesedihan itu. Kamu tersedu menangis. Sedang dihati saya darah hempedu menyembur limpah. Hirisan sembilu ini tersiat sungguh ngilu. Sehinga seluruh isi dada saya menjadi lumat berserabai.
Bunga akan terus berkembang dan bunga akan menjadi layu. Malang bagi kumbang yang terseksa kerana melupai proses ini. Sebab sayap yang ada padanya berupaya menerbangkan diri kemana-mana ruang angkasa. Saya menyulur mencari kekuatan berpaut pada pesanan bapa.
Pergilah Eidil. Saya mampu mengurus diri. Erti sebenar cinta melampaui semua sempadan deria. Perkahwinan bukan ikatannya. Perceraian bukan uraiannya. Ia satu simpulan rasa penuh rahsia. Seumpama pancaran sinaran radioaktif. Tanpa warna. Tiada rupa. Tidak bersuara. Tetapi sungguh berkuasa amat berbisa.
Saya anak desa. Membesar dalam himpitan keperitan dan kekecewaan. Ketewasan adalah pengalaman biasa pada kehidupan lalu. Sejarah silam rupanya sangat berguna. Kata ibu, kasihsayang menjadi lagenda dalam gerhana. Bulan pasti bercahaya semula sesudahnya. Dihujung setiap duka pasti ada suka disana.Itu wajah tulen cinta dan rupa sebenar kasih.
Demikian. Seluruh kekuatan dikaut dan dihimpun. Mengimbangi gempa perdana. Gerhana ini bukan kepalang. Sungguh perit membangun dalam parah. Sungguh payah menerima kenyataan diluar kepercayaan. Sungguh benar bahawa hati manusia ibarat putaran roda-roda.
- Azim , saya mohon jutaan ampun dan maaf . Dunia dan akhirat ……
Sedu kamu terus mendodoi pilu mengiringi angin senja menerpa daun-daun rhu. Menampar dinding bangunan Multi-Storey yang tegak umpama tugu. Iramanya berbaur berselang seli dengan suara burung-burung gagak yang berterbangan mencari sarang. Di ufuk barat bebola matahari telah terbenam. Bandar pelabuhan menjadi berbalam-balam. Untuk kesekian kalinya kamu mengucapkan salam. Mengiringi titisan airmata cinta. Entah celik entahkan buta. Selamat tinggal bandaraya Shah Alam.
Sejak itu kamu melayang laksana bayu.
2
Masa berlalu pantas. Zaman pun turut berubah.
Meninggalkan puncak bukit ilmu itu, semua tentang alam kampus menjadi bertambah jauh semakin sunyi. Suasana jauh berbeza kehidupan mula berubah. Buku dan studio abstrak kian terasing. Syarahan dan tutorial telah menyepi. Tugasan dan peperiksaan tidak lagi menghantui fikiran. Kebimbangan dan igauan ngeri telah tenggelam diapungi sekeping sijil bertatah permata yang dijulang dan diarak menyelinap setiap ruang tempat dan masa. Sungguh. “AD square” itu pun berlalu bagaikan satu keindahan mimpi syahdu.
Akhirnya disini saya tertambat. Seperti kebanyakan pemuda Melayu dari kampong pendalaman. Menjadi kakitangan awam. Saya yang menurut perintah. Berkhidmat untuk negara.
Pada usia dua puluh dua tahun saya telah memiliki sebuah kereta Honda warna biru laut. Penuh bergaya saya adalah seekor burung merbah yang ghairah melayah. Perjalanan menjadi kembara tanpa henti tiada destini. Masa menjadi terlalu panjang tanpa dapat di hitung lagi.
Biru warna langit sungguh mempesona. Kerdip bintang dan silauan cahaya bulan pula membuai khayalan. Awan gemawan itu, gumpal menggumpal mencorak dada langit, seluruhnya mahu saya jelajahi melewati semua sempadan emosi. Ombak di pantai bergulung-gulung memberi amaran. Adakalanya menakutkan. Namun masin air laut tetap sukar merawati bisa .
Eina. Sopiea. Eila. Fiesh. Syarke. Keyla. Fade. Tuen. Rash. Lana. Rosie. Haes. Ushra. Ashe. Sekadar beberapa nama abadi – silih berselang hadir merentap semua kesepian lalu disisih ke tepi. Dengan tulus ikhlas kita mengayam keriangan di lembah boling. Menjana kecergasan di gelanggang squash. Kadangkala berkayak di pantai mencabar ombak melakar impian. Ada ketikanya berakit melungsur arus Sungai Tembeling dan merintis denai belantara mendaki banjaran Titiwangsa menguji ketabahan. Pada waktu-waktu lain kita bercuti dikampong. Ipoh. Alor Setar. Tumpat. Gemas. Lancang. Georgetown. Kelang. Kuala Pilah. Keramat.
Sungguh, saya menenun pemidang keharmonian di sini. Menyental ketakutan. Membasuh kepuraan. Membilas impian. Menyidai kebimbangan. Suasana menjadi segar warna warni.
Lalu kamu hadir di sisi. Membawa cemburu mengimbau tragedi. Seumpama heroin filem Hindi “Bobby” yang klasik itu. Malangnya kecantikan bukanlah kerangka cinta. Cinta tersimpul oleh rantaian pelbagai elemen. Sebab itu ia dikatakan buta dan gila. Saya bukan seorang lelaki kacak dan tampan. Tidak juga kemas. Jauh sekali berpangkat atau berharta. Tetapi kamu datang dengan linangan air mata. Aneh sungguh perasaan manusia. Lantas saya menjadi takut kerananya.
- Saya belum bersedia Lieza .
- Waktu itu pasti akan tiba juga bukan ?
- Penantian itu kesabaran yang sangat hebat. Mendebarkan. Meresahkan. Penuh risiko. Kehidupan menjadi tidak menentu kerananya. Lebih baik kita lupakan saja Lieza
- Azim !
- Lieza . membina kekuatan dari kekecewaan adalah pengalaman yang sangat berguna untuk menempuh kehidupan mendatang. Kamu akan menghargainya sepanjang hayat.
- Kamu kejam Azim. Zalim. Lelaki memang selfish. Tidak boleh di percayai. Suka persenda perasaan wanita. Datang dan pergi sesuka hati.
Maafkan saya Lieza. Berterus terang sakit tapi penawar. Kamu gadis jelita. Manis dan menawan. Jadi lah manusia dewasa. Tabah dan perkasa. Setiap luka perlu dirawat untuk sembuh Lieza. Pasti sekali. Tiada toleransi.
Ombak bergulung-gulung menghempas tebing. Buihnya berderai menyerap ke dalam pasir halus di pesisir memadam jejak halus kaki kamu dari langkah longlai yang semakin jauh menyusuri pinggir pantai peranginan klasik itu. Perasaan saya berbaur seperti buih-buih terhempas di batu. Angin Laut Selat Melaka pun mendesis dan membawa bersama suara sedu kamu tanpa dapat dikesan lagi. Sayup-sayup dari dasar hati, ada bisikan simpati. Lieza , maafkan saya. Jaga diri kamu baik-baik. Moga Tuhan melindungi kamu.
3
Masa berlalu pantas. Zaman pun ikut berubah.
Ketika itu saya baru melewati usia tiga puluh tahun. Kehidupan semakin banyak mengalami perubahan. Di bandar satelit ini saya menyewa sebuah rumah kembar dua tingkat di sebuah taman di pinggir Sungai Langat bersama bebrapa rakan. Selain berjiran dengan sebuah rumah kosong tidak berpenghuni, kawasan perumahan ini agak sunyi. Pada mulanya ia sungguh menggembirakan kerana adakalanya kesunyian dapat memberi ketenangan dan kedamaian. Namun adalah mustahil untuk mendapatkan apapun jua yang kekal di dunia ini selamanya.
Suatu petang kamu datang bersama rakan-rakan kamu. Kemudian, hari-hari berikutnya, rumah itu tidak lagi sunyi. Kamu menjadi jiran saya.
Alangkah bosan dan sungguh mengganggu. Benar. Pergerakan saya terbatas. Banyak perkara terpaksa di jaga. Sekumpulan gadis berjiran dengan sekumpulan pemuda. Fitnahnya besar sekali. Kamu pula kumpulan gadis terpelajar era milanium. Bukan seperti gadis pingitan di kampung saya.
Berpindah bererti menghindari masalah. Masalah mesti diselesaikan. Halangan mesti diatasi. Lagi pun bukan mudah untuk mendapat rumah sewa di bandar seperti ini. Larisnya bagaikan sate yang mewarnai kemasyhurannya sejak berdekad-dekad lalu. Lantas dengan rasa penuh terganggu saya menerima kehadiran kamu dan rakan-rakan. Sebagai jiran yang sungguh tidak menyenangkan untuk menempuh hari-hari mendatang sehinggalah datangnya suatu pagi. Saya terlewat untuk ke pejabat dan kamu pula tertinggal bas untuk kekuliah. Detik itu rupanya menjadi permulaan kepada satu sejarah terpahatnya lagenda baru.
- Saya suka ‘Jungle trekking’ dan ‘moutaineering’.
- Oh ya. Kalau begitu jom kita mendaki Gunung Nuang.
Sharatul ‘Ain kawan kamu itu tersimpul-simpul mengulum senyum. Lirik matanya dengan nakal menyelak perasaan di hati saya. Terserlah kenakalan di wajahnya. Persis primadona penggoda dalam cerekarama.
Hari minggu berikutnya kita mengumpul rakan-rakan untuk satu eksepidisi mendaki gunung. Di hutan dara dipuncak gunung itu bunga melur hutan mekar menguntum. Saya tidak ingin menghidu tetapi aromanya syahdu seperti bunga-bunga padi bunting di permatang sawah. Sesuatu menjelma kembali mengusik kalbu.
- Saya rasa saya sukakan kamu. Sungguh menarik seperti bunga melur hutan itu.
- His kamu ni , apalah cantiknya bunga melur hutan.
- Harumnya.
- Hmm , he he he..!
Burung Enggang spesis pupus melayah di pohon meranti mengapai angin. Farid, Jamal, Kak Dah dan Kak Yah sedang sibuk menghirup udara gunung yang segar. Pakya pula tersandar diperdu pokok renek melepas lelah.
- Saya akan pinang kamu !
- Hey ! Hebat gurauan kamu ya! Kamu memang kelakar.
Matahari makin meninggi. Kekaca embun mula terbarai. Hawa dingin puncak gunung terasa semakin hangat.
- Abah , semua sudah siap !- Seru Adam
- Buat ‘ double checking’.
- Sudah , Bah.’- Balas Umar
- Hai, sayangnya nak tinggal tempat ni. Nanti kita datang lagi ya Bah. Kata Sarah.
- Ya lah , Bah , kita datang lagi ya Bah. Siti Hajar mencelah.
- Okay , kita bergerak…. Seru Asiah sambil menarik tangan Hawwa dengan nakal. Kamu hanya tersenyum melihat telatah mereka Maze.
Pantasnya masa berlalu. Zaman pun turut berubah.
Angin terus bertiup. Matahari tetap seperti dulu. Puncak gunung ini tidak banyak diusik tetapi mula terancam. Detik dinodai sedang mara. Saat menjadi dataran sedang melanda. Di kejauhan, jajahan kotaraya sedang melebarkan wilayahnya. Gema jentera kedengaran menyelinap setiap ruang udara menyusup suasana.
Generasi globalisasi abad teknologi.
Saya menjadi sangat gusar dan semakin sayu.
Putera puteriku, di bumi ini pasaklah jatidiri dan canaikan waja hati.
Jangan sampai tersembam wajah pertiwi !

No comments:

Post a Comment