Thursday, 5 July 2012

BADEN BADEN

    Bersama rakan felo dari Mesir Dr. Samir El Bardissi

Pekan tanah tinggi ini terletak di sebahagian banjaran Black Forest. Suasana amat tenang dan damai. Di kalangan orang tempatan ia tekenal sebagai Pekan Pesara. Ini kerana kebanyakan penghuni dan pengunjung nya terdiri dari kalangan para pesara.
    Dalam satu misi kerja lapanngan, saya bersama rakan rakan felo dari Mesir, India , China dan pekerja tempatan sempat singgah untuk makan tengahari di sebuah restoran vegetarian Waldhotel Forrellenhof. Menu hidangan ialah ikan trout kukus cicah sos sayuran. Ikan trout ialah jenis ikan di sungai sungai tanah tinggi seperti spesis Tengas di negara kita. Bezanya daging ikan ini tidak berserabut dengan tulang tulang cangap yang berceragah dan berbahaya. Ikan Trout juga menjadi kegilaan pemancing melupuskan ketagih dalam pertarungan melentor joran di arus sungai tanah tinggi.
     Oleh kerana restoran itu khas untuk vegetarian makan maka hari itu saya makan lebih sedikit dari biasa. Penyelia saya terhidu dengan selera saya hari itu. Mungkin ada persoalan di kepalanya selama ini.
" Kamu orang Islam hanya makan sayur, ikan dan buah sahaja. Ayam dan daging tidak makan." 
"Bukan begitu puan. Kami makan juga ayam dan daging tetapi terpilih. Samada oleh jenis binatang dan bagaimana ia disembelih"
"Apa bezanya. Orang Kristian juga sembelih."
"Cara sembelih orang Kristian dengan cara orang Islam tidak sama. Kami hanya boleh makan daging yang disembelih oleh orang Islam.
"  Tetapi saya pernah jumpa orang Islam yang tidak peduli semua itu!'
"Memang ada mereka yang melanggar hukum hakam. Sama seperti peraturan dunia. Mesti ada orang yang melanggarnya. Sebab itu Allah sediakan balasan baik dan balasan jahat di hari akhirat kelak. Adakah puan percaya tentang hari akhirat?
" Ya..saya percaya tetapi memakan daging yang kamu kata haram bukan perbuatan  berdosa yang perlu dihukum!"
"Oooo..ia sudah semakin kompleks untuk diterangkan puan. Kecuali puan memeluk agama Islam, saya tidak dapat menerangkan lebih lanjut"
"Ha ha ha.." Dia ketawa.
     Menjelajah pekan ini membawa ingatan saya kepada Bukit Fraser di tanah air. Bezanya ia lebih natural dan terpencil oleh pengaruh pembangunan. Wajah nya masih kekal sunti dengan ciri ciri sebuah kawasan tanah tinggi semula jadi yang selesa dikunjungi.
     "