Thursday, 5 July 2012

BADEN BADEN

    Bersama rakan felo dari Mesir Dr. Samir El Bardissi

Pekan tanah tinggi ini terletak di sebahagian banjaran Black Forest. Suasana amat tenang dan damai. Di kalangan orang tempatan ia tekenal sebagai Pekan Pesara. Ini kerana kebanyakan penghuni dan pengunjung nya terdiri dari kalangan para pesara.
    Dalam satu misi kerja lapanngan, saya bersama rakan rakan felo dari Mesir, India , China dan pekerja tempatan sempat singgah untuk makan tengahari di sebuah restoran vegetarian Waldhotel Forrellenhof. Menu hidangan ialah ikan trout kukus cicah sos sayuran. Ikan trout ialah jenis ikan di sungai sungai tanah tinggi seperti spesis Tengas di negara kita. Bezanya daging ikan ini tidak berserabut dengan tulang tulang cangap yang berceragah dan berbahaya. Ikan Trout juga menjadi kegilaan pemancing melupuskan ketagih dalam pertarungan melentor joran di arus sungai tanah tinggi.
     Oleh kerana restoran itu khas untuk vegetarian makan maka hari itu saya makan lebih sedikit dari biasa. Penyelia saya terhidu dengan selera saya hari itu. Mungkin ada persoalan di kepalanya selama ini.
" Kamu orang Islam hanya makan sayur, ikan dan buah sahaja. Ayam dan daging tidak makan." 
"Bukan begitu puan. Kami makan juga ayam dan daging tetapi terpilih. Samada oleh jenis binatang dan bagaimana ia disembelih"
"Apa bezanya. Orang Kristian juga sembelih."
"Cara sembelih orang Kristian dengan cara orang Islam tidak sama. Kami hanya boleh makan daging yang disembelih oleh orang Islam.
"  Tetapi saya pernah jumpa orang Islam yang tidak peduli semua itu!'
"Memang ada mereka yang melanggar hukum hakam. Sama seperti peraturan dunia. Mesti ada orang yang melanggarnya. Sebab itu Allah sediakan balasan baik dan balasan jahat di hari akhirat kelak. Adakah puan percaya tentang hari akhirat?
" Ya..saya percaya tetapi memakan daging yang kamu kata haram bukan perbuatan  berdosa yang perlu dihukum!"
"Oooo..ia sudah semakin kompleks untuk diterangkan puan. Kecuali puan memeluk agama Islam, saya tidak dapat menerangkan lebih lanjut"
"Ha ha ha.." Dia ketawa.
     Menjelajah pekan ini membawa ingatan saya kepada Bukit Fraser di tanah air. Bezanya ia lebih natural dan terpencil oleh pengaruh pembangunan. Wajah nya masih kekal sunti dengan ciri ciri sebuah kawasan tanah tinggi semula jadi yang selesa dikunjungi.
     " 

Wednesday, 6 June 2012

BLACK FOREST

Pekan Bad Harrenalb - gerbang ke puncak Black Forest

     Peter pernah memberitahu saya bahawa trip ke Eropah tidak lengkap bagi mana mana pengembara asing jika mereka tidak menikmati lanskap Black Forest. Saya sangat teruja mendengarnya  tetapi tidak mempunyai peluang sehingga lah pada satu hujung minggu.
      Bergerak secara solo saya mengambil trem dari bandar Karlruhe ke hentian terakhir di pekan Bad Harrenalb terletak di kaki banjaran hutan Black Forest. Dari sini hanya bas menjadi kenderaan awam untuk meniti banjaran ke puncak. 
          Mendaki banjaran melalui liku liku dan selekoh tajam serta gaung gaung yang dalam memang mengerikan. Tetapi kemahiran pemandu mematah selekoh dengan cemerlang menghakis semua rasa gementar dan seriyau itu. 
      Black Forest adalah banjaran yang menjadi tembok pemisah antara Jerman dengan Switzerland. Hutan simpan yang menjadi tumpuan peluncur salji di puncaknya pada setiap hujung minggu dan hari cuti. Saya tidak berniat hendak meluncur. Sekadar ingin melihat lihat sahaja. Tetapi kalau ada teman tempatan mungkin saya turut menyertainya untuk merasai pengalaman sendiri.
       Di atas puncak terdapat sebuah pekan kecil. Saya turun di hentian terakhir itu dan buntu untuk bergerak dalam suasan salji yang memutih. Peluncur peluncur mereka datang berteman dan mempunyai agenda masing masing. Saya terkonteng konteng seorang diri. 
        Setalah puas merayau seorang diri , tiba tiba dalam suasana sejuk itu saya merasa hendak membuang air kecil. Saya mencari tandas awam tetapi tidak ada. Mengikut jadual, bas terkahir untuk turun kebawah pulak akan tiba sebentar lagi. Keadaan menjadi sangat gawat. Akhirnya saya kehilangan arah. Saya pergi kepada perdu sebatang pokok phine berhampiran hendian bas untuk melepaskan hajat.  Setelah pastikan tiada orang lalu lalang maka saya pun melepaskan hajat saya. 
         Tidak semena mena entah dari mana tanpa saya sedari hadir sepasang orang putih di situ dan memerhati saya dengan sinis. Saya pejam kan mata buat tidak peduli. Biar lah apa mereka nak sangka asalkan saya akan selesa di atas baas nanti. Sungguh pun begitu terasa panas diseluruh muka saya walaupun sebahagiannya digayuti salji.