Tuesday, 16 November 2010

MENJADI ORANG ASING

Saat berganti minit. Minit bertukar jam. Hari telah menjelang senja. Restoran itu telah berkemas untuk menutup perniagaan harian mereka. Saya masih menunggu kemunculan Jamal yang pergi mendapatkan bantuan sejak awal pagi tadi. Sebuah penantian yang nampak seperti tiada penghujungnya.
Rasa gelisah menyelinap diri. Tiba tiba saja saya merasa gementar. Menunggu lebih lama bermakna mengambil risiko lebih tinggi. Saya pergi bertanya kepada pemilik restoran tetapi malangnya dia tidak boleh bertutur bahasa Inggeris. Saya mendekati beberapa pelanggan terakhir yang ada dan akhirnya bertemu seorang anak gadis.
" Ya, apa boleh saya bantu?"
" Dimana boleh saya dapatkan stesen keretapi untuk ke Jerman? tanya saya.
" Oh ..di bandar Namur tidak jauh dari sini. Tetapi tiada bas atau kenderaan awam kesana. Awak terpaksa menumpang sesiapa yang baik hati mahu menumpangkan awak. Awak tahan saja kereta di jalan sana dan minta bantuan.." kata nya.
" Terima Kasih"
Saya bergegas keluar dan menuju ke pinggir jalan. Senjakala mula melabuhkan tirainya. Saya menahan kereta demi kereta. Namun tiada satu pun yang mahu berhenti. Mereka sekadar memperlahan, melihat dan menggelengkan kepala. Kecewa dengan keadaan itu saya berjalan ke stesen minyak mini beberapa meter dari depan restoran itu. Di stesen minyak saya bertanya semua kenderaan yang mengisi minyak adakah mereka hendak ke Namur, tetapi tidak satu pun yang berkata ya. Saya mula merasa betapa terasing menjadi perantau.
Saya tiada pilihan lagi. Satu satunya harapan saya untuk berlindung malam itu ialah dalam kereta opel yang tersadai itu. Dengan lemah saya mangatur langkah menuju bengkel tersebut dan membayangkan malam ngeri tidur dalam kereta di bengkel pada musim sejuk di mana suhunya mencecah 0 darjah celcius.
Tatkala ketakutan memuncak dan kegelisahan melewati batasan, saya terdengar deruman kereta menghala ke bengkel. Sebuah kereta Audi A4 meluru dengan laju dan berhenti tidak jauh dari saya. Dalam kesamaran seorang lelaki keluar dan memanggil nama saya.
" Oh ..Syukur Syukur.anda masih disini..saya sangat bimbang dengan awak.. kata Jamal sambil memeluk saya.
" Saya ingatkan awak sudah tinggalkan saya"
Oh..tidak saudaraku Ahmad. Saya terpaksa pergi ke Brussel meminta bantuan abang ipar saya kerana syarikat kereta sewa di sini tidak mahu membantu orang Arab. Ayuh kita ke Namur . Dari sana kita ambil keretapi ke Jerman" katanya samabil membuka pintu kereta. Abang ipar Jamal melemparkan sebuah senyuman kemudian memecut Audi A4 bagaikan pelumba rally menuju Namur.